KUALA LUMPUR: Sabah secara langsung ‘mensubsidi’ sasaran kelestarian dan komitmen iklim negara menerusi liputan hutannya yang tertinggi di Malaysia, kata Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata dengan liputan hutan 62.53 peratus, diikuti Sarawak 61.52 peratus, Sabah jauh mengatasi purata nasional 54.4 peratus.
“Justeru, pandangan Kerajaan Negeri wajib diambil kira dalam penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dan pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon yang dilancarkan April lalu.
“Walaupun tanah dan hutan adalah bidang kuasa mutlak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, Putrajaya wajar menambah dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Sabah sebagai pulangan adil atas peranan negeri ini memelihara khazanah hutan negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat.
Ewon berkata Sabah merupakan penyumbang utama usaha Malaysia menjaga alam sekitar di peringkat dunia, termasuk komitmen negara di bawah Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan PBB.
Menyentuh isu kesihatan, beliau mencadangkan pengambilan kemasukan ke Fakulti Perubatan UMS diberikan untuk pelajar anak tempatan Sabah, lengkap dengan biasiswa atau tajaan JPA, sebelum diserap bertugas di Sabah.
Katanya, keinginan petugas kesihatan berkhidmat berdekatan keluarga dan kampung halaman menjadi antara punca utama Sabah kekurangan pegawai perubatan, dan memerlukan penyelesaian jangka panjang antaranya melatih lebih ramai anak jati Sabah.
Ewon turut menuntut penjelasan status UiTM Cawangan Tawau susulan spekulasi penutupan kampus itu, menggesa perluasan biasiswa untuk anak Sabah dan Orang Asli yang mengikuti Pengajian Bahasa Etnik di UMS dan UPSI, dan mencadangkan penubuhan Kursi Pengajian Bahasa Etnik di UPSI lengkap dengan dana wakaf untuk menyokong UNDRIP.
Beliau juga meminta perincian penerima manfaat peruntukan RM203 juta di bawah Butiran Biasiswa dan Latihan Penyelidikan Universiti 2027, dan mencadangkan UMS membangunkan kursus selari keperluan industri dan menjalin kerjasama dengan Montfort Youth Training Centre untuk mengeluarkan sijil TVET bersama.
Menyentuh kemudahan asas luar bandar, Ewon meminta tambahan peruntukan untuk membina lebih banyak telaga paip dan sistem penapis air di kampung luar bandar Sabah melalui BALBA.
Katanya, keperluan itu sangat mendesak, terutama di kawasan berbukit seperti Penampang dan Kadamaian yang masih tiada bekalan air bersih dan sering menghadapi masalah air setiap kali musim kemarau.
Beliau turut meminta penjelasan skop kajian bencana alam RM65 juta di Sabah dan meminta hasilnya diserahkan kepada Kerajaan Sabah untuk persediaan menghadapi bencana.
Ewon membangkitkan keperluan memulihkan bekas lombong tembaga Mamut di Ranau untuk kawasan itu dibangunkan menjadi lokasi produktif kepada ekonomi negeri.
Beliau mengalu-alukan peruntukan RM411,000 untuk Projek Heart of Borneo (HOB) Sabah, namun mencadangkan kementerian menyediakan dana tahunan khusus untuk melestarikan Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Banjaran Crocker Penampang–Keningau.
Ewon turut meminta komitmen NRES bekerjasama memelihara ekosistem di sekitar kawasan perindustrian baharu negeri, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat yang bersempadan dengan Taman Marin Tun Mustapha dan Taman Perindustrian POIC Lahad Datu yang dikelilingi kawasan hutan paya bakau.
