Oleh David E.
KOTA KINABALU: 8 November 2026 – Penyediaan Belanjawan Sabah 2027 akan mengambil kira kedudukan hasil negeri supaya perancangan perbelanjaan selaras dengan kemampuan kewangan kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik amat penting supaya setiap peruntukan digunakan secara berhemah dan menepati keutamaan pembangunan negeri.
Beliau berkata peruntukan besar akan terus ditumpukan untuk menangani masalah infrastruktur asas, terutama bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya yang masih menjadi keutamaan di Sabah.
“Dalam menyediakan Belanjawan 2027, kita perlu memastikan anggaran perbelanjaan bersesuaian dengan hasil negeri. Pengurusan kewangan yang baik amat penting supaya setiap peruntukan dapat dimanfaatkan mengikut keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Deepavali di Magellan Sutera Resort di sini hari ini.
Mengenai bekalan air, Masidi berkata penyelesaiannya memerlukan perancangan jangka panjang dan pelaksanaan secara berperingkat, dengan beberapa projek dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.
“Masalah bekalan air bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana pelaksanaan projek berkaitan mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya.
Sementara itu, baki peruntukan tambahan RM900 juta dari Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan yang berpotensi diterima Sabah kepada hampir RM8 bilion.
Namun, Masidi menjelaskan peruntukan tambahan itu masih dalam proses memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
Katanya Kerajaan Negeri kini menunggu penyaluran peruntukan tersebut dan berharap ia dapat diterima menjelang penghujung tahun ini.
“Peruntukan tambahan itu akan dimanfaatkan untuk membiayai pembangunan negeri demi meningkatkan kesejahteraan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sumber: MOF
