Oleh David E.
KOTA KINABALU: 7 November 2026 – Peniaga Sabah yang terhimpit mendesak kerajaan negeri Sabah memperketat pengawalan tempoh tinggal dan kelulusan visa pelancongan terutamanya warga China.
Isu ini kembali menjadi tumpuan apabila Imigresen Sabah menahan 14 lelaki warga China di sebuah banglo tiga tingkat di Kota Kinabalu pada 4 November. Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 44 tahun dan dipercayai memasuki Sabah menggunakan Pas Lawatan Sosial.
Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pada 31 Januari, Sabah mencatatkan 3,793,709 (3.9 juta) ketibaan pelawat dan hasil pelancongan RM8.74 bilion pada 2025. China kekal sebagai pasaran terbesar dengan 657,528 ketibaan.
Namun di sebalik angka itu, peniaga tempatan berdepan persaingan tidak seimbang. Menerusi kaedah penyalahgunaan visa pelancong yang sama, warga asing membuka perniagaan di Sabah tanpa lesen dan kini bersaing secara langsung dengan peniaga tempatan. Mereka tidak menanggung kos sewa, gaji, lesen dan cukai seperti peniaga sah, sekali gus menghimpit perniagaan tempatan dari segi kos operasi.
“Tujuan pembukaan sektor pelancongan adalah untuk memacu ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada rakyat tempatan. Namun, kita tidak boleh membiarkan kuasa jenayah luar negara memasuki Sabah dan mengorbankan keselamatan awam, peluang perniagaan dan rantaian ekonomi tempatan,” kata Penyelaras Parlimen STAR Beaufort, Jin Tze Vun.
Jin mendakwa semakin ramai individu warganegara China memasuki Sabah atas nama pelancongan, kemudian memohon lanjutan visa berulang kali untuk tinggal dalam tempoh lama untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan tanpa lesen, sekali gus menghimpit peniaga-peniaga tempatan.
“Semua bahan binaan renovasi, peralatan perniagaan dan bekalan operasi dibawa terus dari luar negara. Akibatnya, tiada peluang langsung untuk peniaga, kontraktor dan pembekal tempatan menyertai ekonomi ini,” katanya dengan memberi contoh.
Dalam operasi selama tiga hari dari 30 Jun hingga 2 Julai 2026, Imigresen Sabah menahan 208 pendatang tanpa izin, termasuk warga Filipina, Indonesia, Pakistan, China dan India. Polis Sabah pula menahan 341 suspek sindiket penipuan antara Januari dan Jun 2026; 303 daripadanya warga China, selebihnya warga Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Laos.
Justeru, isu ini bukan terhad kepada satu kewarganegaraan. Ia membabitkan keupayaan sistem imigresen membezakan pelancong sebenar daripada mereka yang menyalahgunakan visa untuk berniaga atau melakukan jenayah. Namun kesannya lebih ketara apabila melibatkan kumpulan dengan jumlah kemasukan besar.
Jin mendesak kerajaan negeri memperketat kawalan tempoh tinggal dan kelulusan lanjutan visa pelancongan warga China. Sehubungan itu, beliau mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk dikemukakan kepada kerajaan persekutuan dan Jabatan Imigresen.
Antaranya, memperketat tempoh tinggal dan kelulusan lanjutan visa pelancongan warganegara China, menolak permohonan lanjutan individu tanpa rekod pelancongan sebenar atau disyaki berniaga haram, memperkuat kerjasama polis dan imigresen untuk membanteras kumpulan penipuan, dan melindungi rantaian ekonomi tempatan.
Desakan itu bukan tanpa asas. Pada Mei 2025, Presiden Huazong dan Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Cina Sabah, Tan Sri Goh Tian Chuan, mendedahkan bahawa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah menerima banyak aduan mengenai warga asing, termasuk warga China, yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bandar ini. Beliau memaklumkan bahawa Datuk Bandar ketika itu menyatakan kebimbangan bahawa kemudahan visa 90 hari akan disalahgunakan untuk kegiatan perniagaan tidak berdaftar.
Menurut laporan Sin Chew Daily dan See Hua Daily pada Januari 2026, Presiden Persatuan Perniagaan Cina Kota Kinabalu, Loi Yoon Sang, turut menuntut penguatkuasaan yang lebih tegas. Beliau menyatakan bahawa pekerja tidak sah menggunakan kos rendah dan cara tidak standard untuk mengambil kontrak, sehingga membentuk persaingan tidak adil yang serius, sambil menekankan bahawa mereka tidak perlu menanggung jaminan kualiti dan tanggungjawab penyelenggaraan susulan seperti kontraktor berdaftar tempatan.
Tumpuan seharusnya diberikan kepada mekanisme penguatkuasaan, bukan dimensi politik. Persoalannya sama ada Imigresen mampu menilai permohonan lanjutan visa secara lebih ketat, dan sama ada kerjasama antara agensi penguatkuasaan dengan pihak berkuasa tempatan dapat diperkukuh demi memastikan hanya individu yang benar-benar memenuhi syarat visa dibenarkan tinggal lebih lama.
Jin berkata, selagi jurang ini tidak ditutup, peniaga kecil di Sabah akan terus terhimpit. Manfaat pelancongan yang diuar-uarkan dalam statistik makro tidak akan sampai kepada mereka di peringkat akar umbi.
Setakat ini , tiada angka rasmi dikeluarkan mengenai nilai kebocoran ekonomi yang disebabkan fenomena ini. Jin bagaimanapun menegaskan: “Sebarang aktiviti ekonomi di Sabah mesti memberi manfaat kepada rakyat Sabah.”
Sehingga artikel ini ditulis, kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Imigresen belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan memperketat kawalan visa pelancong.
– TV Sabah
