KOTA KINABALU: 31 Oktober 2026 – Penglibatan golongan belia dalam pembangunan negeri perlu melangkaui aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya merangkumi penyertaan dalam perbincangan dasar dan proses membuat keputusan demi kepentingan generasi muda.
Menerusi Parlimen Belia Malaysia, anak muda diberi ruang memahami proses demokrasi, mengasah kemahiran kepimpinan dan menyuarakan pandangan berkaitan isu pembangunan dan kebajikan masyarakat.
Perkara itu mendapat perhatian dua calon Parti Pemuda Pemudi Sejahtera (PPS), Mixxccomoko Philip atau Moko Philip, 24, dari Tambunan dan Lestley Surf Ambross, 24, dari Kampung Kiabau, Telupid.
Moko berkata belia perlu lebih proaktif memahami isu politik kerana keputusan yang dibuat hari ini memberi kesan kepada peluang pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup dan pembangunan luar bandar.

“Jika belia tidak mengambil bahagian dalam menentukan masa depan mereka sendiri, mereka berisiko membiarkan orang lain menentukan masa depan tersebut bagi pihak mereka,” katanya.
Lestley pula berkata platform seperti Dewan Belia penting untuk membentuk pemikiran kritis, kematangan berbahas dan kefahaman terhadap sistem pentadbiran kerajaan.
“Belia perlu belajar berhujah berdasarkan fakta, menghormati perbezaan pandangan dan mengemukakan penyelesaian yang praktikal,” katanya.

Proses pengundian berlangsung selama dua hari bermula 1 November hingga 2 November 2026 menerusi aplikasi Parlimen Belia Malaysia.
Inisiatif itu mencerminkan usaha menyediakan ruang kepada generasi muda memahami demokrasi dan menghubungkan aspirasi belia dengan agenda pembangunan negara.

