KOTA KINABALU: 26 Oktober 2026 — Peralihan tenaga bersih Sabah melakar satu lagi pencapaian apabila Loji Solar Berskala Besar Kolombong berkapasiti 15 MWac memulakan operasi komersialnya secara rasmi pada 17 Oktober 2026 lepas.
Lebih membanggakan, projek mega ini berjaya disiapkan dan beroperasi 40 hari lebih awal daripada jadual asal penyiapannya yang sepatutnya pada 26 November 2026 depan.

Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dalam satu kenyataan media memaklumkan, loji yang dibangunkan oleh TG Solar Sdn Bhd di bawah Kumpulan Teck Guan ini merupakan projek solar berskala besar pertama yang berjaya melengkapkan kitaran penuh di bawah kawal selia program LSS-Sabah 2024.
Loji yang dibina di kawasan seluas 36.1 ekar di Jalan Cenderakasih, off Jalan Lintas itu menggabungkan sistem pemasangan tanah dan bumbung dengan menggunakan 30,000 modul solar dwimuka (bifacial).

Ia dijangka mampu membekalkan kira-kira 33.4 GWh elektrik setahun kepada grid Sabah Electricity (SESB), sekali gus menampung keperluan elektrik untuk lebih 9,000 buah rumah di Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kejayaan awal ini mencerminkan komitmen padu dan koordinasi mantap antara pihak pemaju, kontraktor, jabatan kerajaan dan utiliti yang terlibat.
“Pencapaian peristiwa penting ini 40 hari lebih awal daripada jadual mencerminkan komitmen dan koordinasi kukuh. Kejayaan penyampaian projek ini juga membuktikan keberkesanan pelaksanaan bidaan kompetitif LSS ECoS pada tahun 2024,” katanya.
Menurutnya, langkah tersebut penting untuk mempelbagaikan matriks penjanaan elektrik, memperkukuh keselamatan tenaga dan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui di Kota Kinabalu selaras dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Tenaga elektrik dari loji ini akan dibekalkan kepada SESB untuk tempoh 25 tahun menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) melalui interkoneksi 33 kV di Pencawang Masuk Utama Kolombong.
Projek ini berjaya direalisasikan dengan penglibatan GV Borneo Sdn Bhd selaku kontraktor utama (EPCC) dan disokong sepenuhnya oleh perunding dan kakitangan tapak tempatan.
Sumber: ECoS

