Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 20 Oktober 2026 – Pasukan Kolej Vokasional (KV) Keningau meraih tempat ketiga dalam pertandingan keusahawanan sosial FUSE X SERY anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada 16 hingga 18 Oktober lalu menerusi projek kelas latihan karate yang memberi manfaat kepada komuniti.
Pasukan dikenali sebagai Karatekas itu membawa pulang plak, sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000 hasil kejayaan projek yang menyasarkan golongan belia, kanak-kanak dan pelajar berkeperluan khas.
Projek itu dilaksanakan susulan kem latihan anjuran KBS pada Jun lalu, dengan sokongan geran mikro, pemantauan dan bimbingan myHarapan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan pemerkasaan belia.

Selain mengajar teknik karate, kelas itu turut menerapkan teknik kawalan emosi untuk membantu peserta membina keyakinan diri, ketahanan mental dan keupayaan mengawal perasaan.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata kejayaan itu diharap dapat mendorong pelajar untuk terus melaksanakan inisiatif keusahawanan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap para pelajar terus mengamalkan konsep keusahawanan sosial yang mengutamakan kebajikan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Pertandingan FUSE X SERY terbahagi kepada dua kategori, iaitu Facing Up Social Entrepreneurship (FUSE) untuk belia bersekolah berusia 15 hingga 17 tahun dan Social Entrepreneurship for Rural Youth (SERY) untuk belia lepasan sekolah berusia 18 hingga 30 tahun.
Tujuh pasukan mara ke peringkat akhir kategori belia bersekolah, tiga daripadanya mewakili KV Keningau.
Dua lagi pasukan kolej itu, Slices of Care dan Eureka Hub, masing-masing menduduki tempat keempat dan ketujuh.
Pasukan Green Force muncul juara, manakala Naturepreneurs menduduki tempat kedua, kedua-dua pasukan itu berasal dari Semenanjung Malaysia.

