Anak pedalaman berhak nikmati pendidikan setaraf bandar – Kitingan

DDJK Majlis APPC Keningau

oleh David E.

KENINGAU: 17 Oktober 2026 — Masih ada anak-anak di pedalaman Sabah yang belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun mereka tetap berhak menikmati pendidikan berkualiti sama seperti pelajar di bandar besar.

Kedudukan geografi dan kekangan infrastruktur tidak seharusnya menjadi penghalang untuk anak-anak di kawasan luar bandar dan pedalaman menikmati pendidikan berkualiti dan peluang sama seperti pelajar di bandar besar.

Ahli Parlimen Keningau merangkap ADUN Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, berkata pembangunan pendidikan di Sabah, khususnya di daerah pedalaman seperti Tambunan, perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan demi mengurangkan jurang kemudahan pendidikan antara bandar dan luar bandar.

Beliau menegaskan perkara itu menerusi ucapan sempena Majlis Anugerah Pengurusan Sekolah (MAPenS) 2026, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan di Hotel Perkasa, Keningau.

Menurutnya, masih terdapat sekolah di kawasan pedalaman yang berdepan pelbagai kekangan termasuk kemudahan infrastruktur, akses jalan raya, capaian internet dan prasarana pendidikan yang belum mencapai tahap sewajarnya.

“Anak-anak Tambunan berhak mendapat peluang pendidikan yang sama berkualiti dengan anak-anak di bandar besar, sama ada di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur mahupun di mana-mana sahaja di negara ini.

“Pendidikan merupakan hak setiap anak Malaysia, bukan suatu keistimewaan yang hanya dinikmati oleh mereka yang tinggal di kawasan yang lebih maju,” tegasnya.

Kitingan berkata, kecemerlangan pendidikan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pengorbanan guru dan pentadbir sekolah tanpa disokong kemudahan asas, dasar yang adil, perancangan berkesan dan peruntukan pembangunan yang mencukupi.

Menyentuh Belanjawan Malaysia 2027 yang mengumumkan peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah, beliau menegaskan angka itu merupakan jumlah keseluruhan perbelanjaan pengurusan, termasuk pembayaran gaji kakitangan Kerajaan Persekutuan dan kos pentadbiran, bukan jumlah sebenar peruntukan pembangunan.

Jika dibandingkan dengan kutipan hasil dari Sabah yang dianggarkan sekitar RM50 bilion setahun, beliau berpandangan angka yang diumumkan Perdana Menteri itu tidak mencerminkan pemulangan hasil yang sewajarnya berdasarkan hak kewangan dalam kerangka pembentukan Malaysia.

Menurutnya, Sabah sepatutnya menerima kira-kira RM20 bilion setiap tahun, bersamaan tuntutan 40 peratus hak kewangan Sabah yang terus diperjuangkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam usaha memberikan sokongan terhadap kecemerlangan pendidikan di Tambunan, Kitingan mengumumkan insentif khas RM5,000 untuk sekolah menengah yang mencapai kecemerlangan dalam keputusan SPM 2025 di daerah berkenaan.

Beliau turut menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri, disiplin, integriti dan kreativiti untuk menghadapi perubahan teknologi.

“Anak-anak kita mesti mampu menguasai teknologi masa depan tanpa kehilangan jati diri dan warisan nenek moyang mereka,” katanya.

Kitingan turut menyampaikan sumbangan kewangan RM15,000 untuk menampung keperluan penganjuran majlis berkenaan, manakala Co-opbank Pertama menyumbang RM3,000 untuk tujuan sama.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal