oleb David E.
KOTA KINABALU: 14 Oktober 2026 – Kerajaan Sabah mahu pembangunan industri minyak dan gas tidak hanya berasaskan penerokaan dan pengeluaran sumber, sebaliknya mewujudkan nilai ekonomi lebih besar untuk negeri dan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurutnya, persoalan penting bukan berapa banyak sumber dimiliki Sabah, tetapi sejauh mana nilai dapat diwujudkan dari sumber itu.
Katanya, industri minyak dan gas merangkumi keseluruhan rantaian nilai, dari infrastruktur dan perkhidmatan sokongan hingga aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja berkemahiran dan pelaburan.
“Sudah tentu, kita mahu perkembangan industri ini mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas,” katanya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah Projek SOGT dan SSGP antara SEDCO dan PETRONAS di Hyatt Regency Kinabalu, di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata perkembangan eksplorasi dan penemuan sumber baharu membayangkan prospek lebih besar untuk Sabah.
Infrastruktur SOGT dan SSGP perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur penting yang menyokong ekosistem pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya koridor Kimanis hingga Sipitang yang berpotensi menjadi kawasan pertumbuhan penting.
Kerajaan negeri mahu lebih banyak penyertaan tempatan, membolehkan syarikat dan vendor Sabah berkembang dari kerja sokongan kepada membina keupayaan teknikal, pengurusan, teknologi dan modal.
Syarikat tempatan perlu berkapasiti mengambil bahagian dalam peluang lebih besar dan bernilai tinggi, manakala PETRONAS berperanan penting bersama kerajaan negeri merealisasikan aspirasi itu.
Hajiji menegaskan SEDCO perlu berkembang dari pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan dan rakan strategik industri.
Katanya, perjanjian pajakan tanah SEDCO-PETRONAS contoh pengurusan aset tanah negeri lebih teratur, memberikan kepastian dan memelihara kepentingan komersial negeri.
Beliau berharap kerjasama SEDCO-PETRONAS berkembang dari hubungan transaksi kepada hubungan strategik lebih luas dan saling memberi nilai, memastikan pengurusan sumber dan aset negeri diterjemahkan kepada nilai ekonomi nyata dan berpanjangan.
- TV Sabah

