Oleh: Nurul Fazliana Binti Norman
KOTA KINABALU: 8 Oktober 2026 – Makan Malam Amal Legends anjuran Karyawan bakal menghimpunkan barisan artis tersohor tanah air di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 6 November ini untuk mengumpul dana dan membantu penggiat seni yang memerlukan.
Pengerusi Karyawan, Dato’ Khatijah Ibrahim berkata, hasil kutipan menerusi penganjuran itu akan disalurkan kepada penggiat seni yang berdepan kesusahan, termasuk penyanyi, pelakon, penulis lagu dan kru belakang tabir.
Katanya, bantuan meliputi anak-anak seni sama ada baru atau lama yang pernah dalam industri.
Menurutnya, Makan Malam Amal Legends di Sabah merupakan penganjuran kali kedua di SICC dan kali kelima bagi siri Konsert Legends selepas sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Jelasnya lagi, Sabah antara lokasi yang dinantikan artis untuk mengadakan persembahan kerana suasananya yang lebih santai.
Acara bertemakan ‘Senandung Hidup Berbudi’ itu turut menampilkan gabungan artis legenda dan bakat tempatan Sabah, termasuk Dato’ Hattan, Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Datin Sa’adiah, Bella Astillah, Velvet Aduk, Ayu Damit dan Hairee Kool.
Kumpulan K.O.I yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menerusi lagu hits mereka, “Tiwikarma”, turut dijadualkan membuat penampilan istimewa pada malam berkenaan.
Khatijah berkata, gabungan artis berpengalaman dan bakat baharu itu memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pentas selain pengalaman dalam bidang seni.
Sementara itu, tiket individu dijual pada harga RM300 seorang, manakala pakej meja untuk 10 orang ditawarkan mengikut kategori iaitu Bronze RM3,000, Silver RM5,000, Gold RM10,000, Platinum RM50,000 dan Diamond RM100,000.
Makan Malam Amal Legends dijadualkan berlangsung pada 6 November 2026, jam 8 malam di SICC, Kota Kinabalu, dengan hasil kutipan disalurkan untuk Tabung Kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia.

Tiket boleh ditempah melalui MyTicket Asia, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi pihak penganjur di talian 016-2338888

