KUALA LUMPUR: 8 Oktober 2026 – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau, mendedahkan perbelanjaan pembangunan di Sabah dilaporkan mencecah 95.3 peratus, namun jumlah projek yang siap dan berfungsi hanya sekitar 43 peratus.
Beliau menggesa Menteri Kewangan memberi penjelasan segera berhubung ketidakseimbangan melampau antara jumlah perbelanjaan pembangunan dengan status kesiapan fizikal projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Sabah.
“Bagaimanakah hampir keseluruhan peruntukan telah dibelanjakan sedangkan lebih separuh projek masih belum siap? Mohon jawapan dari Menteri Kewangan,” tegas beliau semasa membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2026 di Dewan Rakyat, kelmarin.
Berdasarkan data LKAN Siri 2 Tahun 2026, sebanyak 9,578 projek dilaporkan di peringkat nasional, tetapi hanya 3,120 projek (32.6 peratus) telah siap, manakala baki 6,458 projek (67.4 peratus) masih tertangguh.
Senario sama turut berlaku di Sabah. Di negeri itu, 941 projek pembangunan RMK-12 dilaporkan, dengan hanya 405 projek telah siap, 411 projek masih dalam pelaksanaan dan 125 projek belum bermula atau masih di peringkat perancangan.
“Angka ini tidak boleh dipisahkan dari realiti rakyat. Sabah masih berdepan kekurangan jalan, sekolah, kemudahan kesihatan, bekalan air dan elektrik.
“Rakyat tidak menggunakan angka peratusan 95.3 peratus itu. Rakyat menggunakan jalan yang siap, sekolah yang selamat, klinik yang berfungsi dan bekalan air dan elektrik yang stabil,” katanya.
Lebih mengecewakan, Madius mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 2,030 projek ‘warisan’ lama sejak zaman RMK-9, RMK-10 dan RMK-11 yang masih gagal diselesaikan sehingga hari ini. Susulan itu, beliau mengemukakan lima tuntutan drastik kepada Menteri Kewangan.
Pertama, Kementerian Kewangan bersama kementerian pelaksana mesti melaksanakan Sijil Kesiapsiagaan Projek dalam tempoh enam bulan untuk memastikan urusan tanah, reka bentuk dan utiliti dimuktamadkan sebelum tender bermula.
Kedua, Unit Penyelarasan Pelaksanaan wajib melancarkan Dashboard Projek Awam dalam tempoh 90 hari untuk memaparkan maklumat kontrak, kontraktor dan punca kelewatan secara telus kepada umum.
Ketiga, setiap projek yang memohon Lanjutan Masa (EOT) kedua mesti melalui semakan bebas dalam tempoh 30 hari untuk tindakan drastik sama ada pemulihan atau penamatan kontrak.
Keempat, pasukan khas untuk projek warisan perlu ditubuhkan dalam masa 30 hari untuk mengaudit dan menyelesaikan baki projek tertangguh sejak RMK-9 hingga RMK-11 dalam tempoh 24 bulan.
Kelima, setiap kementerian pelaksana mesti melantik pemilik akauntabiliti projek dalam tempoh 30 hari selepas kontrak diluluskan demi memantau kualiti dan garis masa secara bulanan.
Madius turut menuntut Menteri Kewangan membentangkan senarai lengkap projek bermasalah dan status kontraktor terbabit kepada Parlimen dalam tempoh 90 hari.

