oleh David E.
KOTA KINABALU: 29 Septtember 2026 – Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan berhubung hak perlembagaan Sabah untuk Geran Khas 40% pada 29 Oktober 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Roger Chin, berkata kes itu bukan sekadar kes mahkamah biasa kerana ia membabitkan janji perlembagaan kepada Sabah, kedudukan negeri dalam Persekutuan dan kepentingan rakyat Sabah hari ini dan generasi akan datang.
Katanya, pada perbicaraan terdahulu hanya sebilangan kecil orang dapat memasuki bilik mahkamah dan menyaksikan prosiding, manakala ramai rakyat Sabah yang mengambil berat terpaksa berada di luar.
“Kali ini, keadaan akan berbeza. Mahkamah telah bersetuju menyediakan dewan persidangannya sebagai kawasan tontonan awam. Dewan itu boleh memuatkan sehingga 250 orang yang akan mengikuti perbicaraan secara langsung melalui transmisi audio-visual litar tertutup dari bilik mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata ia adalah peluang penting untuk lebih ramai rakyat Sabah menyaksikan prosiding, memahami hujah dan melihat institusi perlembagaan berfungsi.
Roger Chin menyeru rakyat Sabah dari setiap komuniti, daerah dan lapisan masyarakat hadir bersama keluarga dan rakan untuk menunjukkan sokongan terhadap usaha Persatuan Undang-Undang Sabah menegakkan hak perlembagaan Sabah.
“Bilik mahkamah mungkin mempunyai kapasiti terhad, tetapi kepentingan kes ini jauh melangkaui dindingnya. Marilah kita memenuhi 250 tempat duduk di dewan persidangan itu,” katanya.
Tambahnya, kehadiran rakyat Sabah akan membuktikan bahawa mereka memahami kepentingan kes itu dan mengambil berat tentang masa depan perlembagaan negeri.
Perbicaraan dijadualkan pada Khamis, 29 Oktober 2026, 9 pagi di Dewan Persidangan, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. Kehadiran tertakluk kepada kapasiti dewan dan semua keperluan keselamatan dan arahan Mahkamah.
“Sejarah tidak sepatutnya ditonton dari jauh. Datanglah dan tunjukkan sokongan anda. Datanglah dan saksikan prosiding ini. Datanglah dan jadilah sebahagian daripada hari bersejarah ini,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai menyebarkan pengumuman itu supaya setiap rakyat Sabah tahu perbicaraan kali ini tidak terhad kepada segelintir yang dapat mencari tempat di dalam bilik mahkamah.
“Pada 29 Oktober 2026, biarkan Sabah hadir,” katanya.

