Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA LUMPUR: 23 September 2026 – Jabatan Penjara Malaysia menegaskan aspek keselamatan, kawalan, disiplin dan kebajikan penghuni sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan institusi penjara di seluruh negara.
Jabatan Penjara dalam kenyataan kelmarin berkata semua operasi dilaksanakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk kawalan keselamatan, pemeriksaan, pemantauan dan tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
Menurutnya, aktiviti perisikan, pemantauan dan semakan turut dijalankan secara berterusan untuk mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan di institusi penjara.
“Jabatan Penjara Malaysia tidak menafikan bahawa salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi.
“Walau bagaimanapun, setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan SOP yang berkuat kuasa dan berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara turut menggesa sebarang maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan artikel larangan ke dalam institusi penjara dilaporkan kepada polis atau saluran rasmi berkaitan.
Menurutnya, langkah itu penting untuk siasatan, tindakan sewajarnya dilaksanakan berdasarkan fakta dan bukti.
Orang awam turut disarankan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, berautoriti dan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Jabatan Penjara berkata pihaknya akan terus memperkemas SOP, kawalan keselamatan, perisikan dan mekanisme pemantauan untuk memastikan institusi penjara kekal selamat, terkawal dan kondusif.
Sumber: Jabatan Penjara Malaysia

