Rafael, 16, tekun dokumentasi warisan etnik Sabah

Rafael Menerima Sijil Penyertaan Pada Bengkel Penjurian Unduk Ngadau KM

Oleh: Ray Bull

PAPAR: Pada usia 16 tahun, ketika kebanyakan remaja masih menumpukan perhatian kepada kehidupan sebagai pelajar, Rafael David Johnny sudah memilih untuk meluangkan sebahagian waktunya untuk memahami dan mendokumentasikan budaya warisan Sabah.

Berasal dari Kampung Biau, Papar, Rafael berkata minatnya terhadap budaya bermula sejak berusia lapan tahun. Minat itu kemudian berkembang melalui penglibatan dalam aktiviti kebudayaan, Kaamatan dan Unduk Ngadau.

Dari sekadar membantu pengurusan acara, beliau kemudian diberi kepercayaan mengurus Unduk Ngadau dan Randawi Tavantang Kaamatan selama dua tahun.

Menurut Rafael, pengalaman itu memberinya peluang membimbing calon sehingga mereka meraih dua tempat pertama Unduk Ngadau peringkat kampung dan tempat kedua Hangai-Hangai Kaamatan peringkat sekolah di daerah Papar.

Terbaharu, minat itu membawanya dari Papar ke Kota Marudu untuk menyertai Bengkel Penjurian Unduk Ngadau sebagai antara peserta termuda.

Rafael mengaku teruja dan sedikit gementar kerana kebanyakan peserta lebih berpengalaman. Namun, beliau melihat peluang itu sebagai ruang keluar dari zon selesa dan peluang menimba ilmu dari mereka yang lebih berpengalaman.

“Saya mahu belajar bagaimana penjurian Unduk Ngadau dilakukan dengan lebih betul, adil dan profesional,” katanya.

Rafael Bersama Salah Seorang Peserta Yang Diurusnya
Rafael, 16, bergambar bersama dengan salah seorang peserta yang pernah diurusnya

Bagi Rafael, memahami budaya tidak berhenti pada penyertaan dalam acara. Beliau kini menjalankan kajian mengenai pakaian etnik Sabah, termasuk corak dan makna di sebalik setiap busana. Beliau juga sedang menghasilkan buku yang mendokumentasikan pakaian etnik di Sabah.

Beliau berkata masa bersama rakan dan waktu lapang kadangkala terpaksa dikorbankan untuk membuat kajian. Namun, beliau menganggap pengalaman itu sebagai ilmu yang akan dibawanya sehingga dewasa.

Penganjur bengkel menyifatkan kesungguhan Rafael sebagai bukti bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang belajar, berkarya dan menyumbang kepada warisan sendiri.

Menurut penganjur, Rafael bukan sahaja aktif dalam tarian tradisional, Unduk Ngadau dan Kaamatan, malah sudah mula memikirkan bagaimana warisan budaya dapat didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Rafael berkata selepas ini beliau mahu terus mendalami bidang kebudayaan dan warisan Sabah, termasuk mempertimbangkan pengajian dalam bidang antropologi dan etnografi.

Katanya, matlamatnya adalah membantu mengkaji, mendokumentasikan dan memelihara budaya, adat, pakaian, bahasa dan tradisi masyarakat Sabah.

“Budaya bukan sekadar sesuatu yang kita warisi dari nenek moyang, tetapi sesuatu yang kita bertanggungjawab untuk teruskan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal