‘Bukan sekadar jalan dan jambatan’, Joachim mahu rakyat rasa manfaat infrastruktur

WhatsApp Image 2026 09 08 at 6.48.26 PM

oleh David E.

KOTA KINABALU: 8 September 2026 – Pembangunan infrastruktur di Sabah bukan sekadar membina jalan, jambatan atau bangunan, tetapi ia adalah nadi kepada pembukaan peluang ekonomi, pengurangan jurang bandar-luar bandar, dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Demikian tegas Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, ketika merasmikan persidangan BEST 2026 di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited menyediakan kemudahan terbaik mengikut kemampuan, namun cabaran geografi Sabah yang luas, berbukit, berpaya dan berisiko gempa bumi menjadikan kos pembinaan sangat tinggi.

“Infrastruktur yang berkualiti membuka ruang ekonomi, memperkukuh hubungan bandar dengan luar bandar, dan menyokong pelaburan mampan. Manfaatnya bukan untuk hari ini saja, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian.

Joachim turut mengingatkan bahawa teknologi baharu tidak boleh menggugat standard kualiti.

“Kita tidak boleh kompromi terhadap standard. Standard dan teknologi perlu bergerak seiring – standard untuk kualiti, teknologi untuk kecekapan.”

Beliau juga menekankan bahawa kejayaan pembangunan negeri bukan hanya bergantung pada wang atau mesin, tetapi pada modal insan – iaitu jurutera, arkitek, kontraktor dan profesional muda yang perlu terus belajar dan berkongsi ilmu.

“Kita boleh sediakan peruntukan, bina infrastruktur, perkenalkan teknologi – tapi kejayaan sebenar tetap bergantung pada manusia. Saya harap lebih ramai profesional muda manfaatkan platform seperti BEST untuk tingkatkan pengetahuan dan bina jaringan,” ujarnya.

Hadirin turut mendengar harapan beliau agar BEST bukan sekadar persidangan sekali sekala, tetapi menjadi legasi yang memupuk budaya kecemerlangan dan profesionalisme dalam sektor pembinaan di Sabah dan Sarawak.

“Setiap persidangan besar bermula dengan langkah berani. Hari ini kita saksikan langkah pertama itu. Saya harap ia berkembang menjadi satu legasi untuk memacu pembangunan Sabah pada masa hadapan.”

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Pegawai Penyelaras Sabah Maju Jaya, Datuk Haji Datu Rosmadi Datu Sulai; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Baharuhom Bin K.K. Sogon; serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Persidangan BEST 2026 yang bertemakan “Memperkukuh Standard dan Memperkasakan Teknologi Infrastruktur” itu merupakan edisi sulung dan menghimpunkan lebih 500 peserta dari pelbagai sektor.

Joachim turut mengucapkan tahniah kepada penganjur, penceramah, penaja dan semua peserta atas kejayaan menganjurkan program itu, dan merasmikan persidangan dengan penuh sukacita.

“Semoga persidangan ini mencapai objektif dan menjadi platform yang terus memperkukuh standard, inovasi dan profesionalisme,” katanya menutup ucapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal