Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 29 Ogos 2026 – Seramai enam artis seni visual dari Kelab Tangan Keramat menghasilkan mural bertemakan bumi Sabah dan teknologi bersama 20 pelajar berkeperluan khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Kolej Vokasional (KV) Keningau pada 26 Ogos lalu.
Projek berkenaan disokong Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Keningau sebagai inisiatif menyemarakkan bidang ekonomi kreatif dalam kalangan belia.

Pengasas Kelab Tangan Keramat, Shah Rezza Balaludin berkata, mural berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira empat jam dengan bantuan pelajar berkeperluan khas tingkatan empat, menggunakan teknologi set kepala realiti maya (virtual reality headset) Meta Quest.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata, usaha berkenaan membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk meneroka bidang seni visual yang semakin berkembang sebagai industri kreatif.

“Penglibatan pelajar berkeperluan khas secara aktif dalam proses melakar dan mengecat memberi pengalaman baharu kepada mereka,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama kelab komuniti dan agensi kerajaan dalam melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada warga kolej.

