Oleh: Nurul Fazliana Norman
PITAS: 27 Ogos 2026 – Telekom Malaysia Berhad (TM) Sabah menyerahkan Zakat Wakalah kepada empat masjid dan 20 golongan asnaf pada Isnin lalu menerusi Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), untuk membantu komuniti yang memerlukan di Sabah.
Penyerahan itu dilaksanakan menerusi Badan Kebajikan Islam TM Sabah dan WP Labuan (BAKIT TM Sabah & WP Labuan) di bawah Kluster Rumah Ibadah.
Ia melibatkan Masjid Ar-Rahim, Keningau; Masjid Felda Umas, Kalabakan; Masjid Pengiran Haji Abdul Karim, Kampung Kalumpang, Pitas dan Masjid Jamek Kampung Penampang, Kota Belud.

Turut menerima bantuan ialah 20 asnaf dari Kampung Kalumpang, Pitas yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi di Masjid Pengiran Haji Abdul Karim pada Isnin lalu.
Menurut TM, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan syarikat terhadap kesejahteraan komuniti menerusi bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
“Usaha ini turut menyokong peranan masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan komuniti dan penyatuan masyarakat, selain menjadi platform bagi TM mendekati masyarakat di peringkat akar umbi,” menurut kenyataan itu.
Penglibatan TM dalam KMJG turut selaras dengan usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, selain menerapkan nilai kesatuan, keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.
Wakil BAKIT TM Sabah yang juga Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam TM Sabah, Nurul Izza Ripin, turut hadir menyaksikan penyerahan itu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; Timbalan Pengerusi Masjid Pengiran Haji Abdul Karim, Johan Amin dan peserta konvoi KMJG.
Sumber: JAPEN

