Oleh: Nurul Fazliana Norman
PAPAR: 24 Ogos 2026 — Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Juil Nuatim menegaskan pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur, sebaliknya perlu merangkumi kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat melalui kerjasama kerajaan dan rakyat ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kampung Tanaki, di sini, Sabtu lalu.
Katanya, pembangunan sebenar merangkumi akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi, kehidupan yang aman dan sejahtera.

“Pembangunan sebenarnya ialah pembinaan masyarakat kita, masyarakat hidup dalam keadaan aman, saling membantu, mempunyai akses pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi dan menikmati kehidupan yang baik,” katanya ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kampung Tanaki, di sini, pada Sabtu lalu.
Menurut Juil, program turun padang seperti KMJG penting sebagai platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat tepat mengenai dasar kerajaan dan ruang untuk masyarakat menyuarakan pandangan.

Beliau turut menyeru penduduk supaya mengamalkan budaya gotong-royong untuk memperkukuh perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam komuniti.
Justeru, masyarakat dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat dari sumber sahih dan mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor.
Sumber: JAPEN

