Naib juara Sugandoi 2026, Sadri Masrani lancar ‘Izou Nosinduahan’

Gambar Sadri Bon merakamkan lagu di Magus8 Studio

KOTA KINABALU: 19 Ogos 2026 – Naib juara Sugandoi Negeri Sabah 2026, Sadri Masrani, 34, melangkah ke fasa baharu dalam karier seninya dengan pelancaran single sulung berjudul ‘Izou Nosinduahan’.

Penyanyi kelahiran Pitas yang juga bertugas sebagai anggota bomba itu menyifatkan penghasilan karya berkenaan sebagai satu pencapaian penting kerana ia merupakan single pertama sepanjang penglibatannya dalam bidang nyanyian.

Menariknya, ‘Izou Nosinduahan’ diberikan sebagai hadiah kemenangan selepas kejayaannya di pentas Sugandoi Negeri 2026, bukannya dipilih sendiri oleh Sadri.

“Lagu yang diberikan ini merupakan lagu hadiah kemenangan di Sugandoi Negeri 2026 tahun ini,” katanya.

Lagu berkenaan sepenuhnya dihasilkan oleh komposer Nick Tudol dan dirakamkan di Magus8 Studio, manakala Sadri menyampaikannya mengikut interpretasi tersendiri.

Gambar Sadri bersama komposer Nick Tudol
Sadri merakam gambar kenangan bersama komposer Izou Nosinduahan, Nick Tudol

“Ini merupakan single pertama saya. Kelainannya mungkin disebabkan lagu kepunyaan saya sendiri dan bukan menyanyikan lagu orang lain lagi,” katanya.

Menurut Sadri, walaupun kisah yang diketengahkan dalam lagu itu bukan pengalaman peribadinya, beliau yakin ramai pendengar pernah melalui keadan atau perasaan yang sama.

Penghasilan single itu menjadi kesinambungan perjalanan Sadri dalam Sugandoi yang bermula pada 2023. Beliau kemudian meraih naib juara di Kota Marudu pada 2024, sebelum mendapat tempat keenam pada 2025.

Tahun ini mencatat pencapaian terbaiknya setelah dinobatkan sebagai juara Sugandoi Daerah Penampang dan seterusnya muncul naib juara peringkat negeri.

Sebagai artis keluaran Sugandoi, Sadri mahu terus menghasilkan karya yang membawa identiti Sabah.

“Saya akan cuba menghasilkan karya-karya Sabahan khasnya, memupuk rasa cinta dan sayang kepada suku kaum, bangsa dan etnik di Sabah melalui nyanyian,” katanya.

‘Izou Nosinduahan’ kini boleh didengarkan menerusi Spotify, Apple Music dan YouTube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal