Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 13 Ogos 2026 – KPDN Tawau menyita lima tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM533, didapati dimiliki tanpa permit atau kebenaran bertulis, dalam pemeriksaan Ops Tiris 4.0 di sekitar Jeti CIQ Lama Tawau, hari ini.
Tindakan pada jam 10.54 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Tawau hasil maklumat risikan.

Pemeriksaan di kawasan berkenaan menemukan lima unit tong LPG jenama MyGaz.
Bagaimanapun, pasukan pemeriksaan gagal menemui sebarang permit atau kebenaran bertulis dari Pengawal Bekalan untuk pemilikan barang kawalan berkenaan.
Susulan itu, satu tindakan kes diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], manakala kesemua eksibit terbabit disita untuk siasatan lanjut.
Jika disabit kesalahan, pesalah untuk kesalahan pertama boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan berikutnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN Tawau menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang, khususnya berkaitan kawalan barang.
Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan salah laku perdagangan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui e-Aduan KPDN, talian 089-776690 KPDN Tawau atau WhatsApp Aduan Pengguna di 019-279 4317 dan 019-848 8000.
Sumber: KPDN Sabah

