NONTHABURI: 8 Ogos 2026 – Tindakan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai mengamuk mengorbankan lapan nyawa, termasuk dirinya sendiri, dalam kejadian di Sekolah Debsirin Nonthaburi, berhampiran Bangkok, pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa Thailand, remaja terbabit dipercayai memulakan serangan dengan menembak mati datuk dan neneknya di kediaman mereka sebelum membawa sepucuk pistol yang didaftarkan atas nama datuknya ke sekolah.
Sebaik tiba di kawasan sekolah, suspek didakwa melepaskan tembakan secara rambang sehingga mengorbankan lima kakitangan sekolah, termasuk guru dan pentadbir. Seramai 23 individu turut mengalami kecederaan, dengan beberapa mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Media melaporkan suspek melepaskan sekurang-kurangnya 26 das tembakan sebelum bertindak menembak dirinya sendiri. Remaja itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, menjadikan jumlah korban keseluruhan meningkat kepada lapan orang.
Siasatan awal mendapati senjata yang digunakan dimiliki secara sah oleh datuk suspek. Pihak polis turut menyiasat kemungkinan serangan itu dirancang lebih awal, manakala motif sebenar masih belum dipastikan.
Beberapa maklumat awal turut menunjukkan suspek dipercayai berdepan tekanan berkaitan persekolahan dan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.
Susulan tragedi itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan bantuan segera disalurkan kepada mereka yang terjejas.
Kerajaan turut memberi jaminan akan menilai semula langkah kawalan pemilikan senjata api untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Tragedi berkenaan kembali mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan dan keberkesanan kawalan senjata api di Thailand, yang merekodkan antara kadar pemilikan senjata dalam kalangan orang awam tertinggi di Asia Tenggara.

