Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 4 Ogos 2026 – Pasukan dari ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu dinobatkan juara pertandingan Young Heroes Peringkat Negeri Sabah 2026, mengatasi sembilan pasukan lain dalam pembentangan idea perusahaan ekonomi kreatif pada 2 Ogos lalu.
Dua pasukan dari Kolej Vokasional (KV) Keningau turut mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih kedudukan naib johan dan tempat ketiga.

Pasukan Ritmakata muncul naib johan menerusi idea platform digital untuk belia mengembangkan bakat rap sebagai perniagaan kreatif. Semasa pembentangan, mereka turut membuat persembahan rap bagi menunjukkan potensi perusahaan itu. Pasukan ini dianggotai Muhammad Fadzrul Mohammad Puad, Safirza Madinah Joise Duan dan Marie Rose Barry, di bawah bimbingan guru Bahasa Inggeris, Nurazilah Othman.
Pasukan Beauty Hackers pula meraih tempat ketiga dengan idea perniagaan solekan kesan khas (SFX). Mereka memukau juri melalui demonstrasi transformasi watak fiksyen popular, Pennywise dan Medusa, untuk membuktikan kebolehpasaran kemahiran tersebut. Pasukan ini dianggotai Aivrillona Alix, Darlene Dee Denial, Esty Sylvie Toos dan Raihanah Shauqina Roselan, dibimbing guru kursus Kosmetologi, Vienny Balakrishnan.
Pertandingan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sabah itu berlangsung selepas latihan intensif tiga hari di Kompleks Belia dan Sukan Putatan. Program dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin, yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Penyertaan lain melibatkan Almacrest International College, Geomatika College Keningau dan satu lagi pasukan dari KV Keningau yang membentangkan idea seni boleh makan (edible arts). Program turut mendapat sokongan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan Sabah Film and Visual Association (SAFVA) sebagai pembimbing.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berbangga dengan pencapaian kedua-dua pasukannya. Katanya, kejayaan itu membuktikan pelajar bukan sahaja gigih mempertandingkan idea, malah menggunakan bakat dan kreativiti untuk membangunkan perusahaan yang berpotensi memperkasakan ekonomi tempatan melalui industri kreatif yang pesat berkembang di Malaysia.

