BUENOS AIRES, 4 Ogos 2026 — Penantian 44 tahun Argentina untuk menampilkan pemain berkulit hitam dalam skuad kebangsaan berakhir dengan penyertaan remaja bernama Stephen “Kiki” Ramos.
Ramos menjadi pemain berkulit hitam pertama mewakili skuad kebangsaan sejak penjaga gol Héctor Baley pada 1982.

Beliau juga pemain kelahiran Haiti pertama menyarung jersi Argentina.
Pemain berusia 17 tahun itu melakukan penampilan sulung ketika Argentina menewaskan Ecuador 2-1 dalam aksi persahabatan pada penghujung Julai lalu.
Kemunculan Ramos menghidupkan semula perbincangan mengenai sejarah masyarakat keturunan Afrika di Argentina, yang dianggarkan kurang satu peratus daripada jumlah penduduk negara itu.
Keadaan itu dipengaruhi beberapa faktor, termasuk kemasukan besar-besaran imigran Eropah pada penghujung abad ke-19, peperangan, wabak Demam Kuning dan penghapusan kategori penduduk berketurunan Afrika dalam bancian selama lebih satu abad sebelum dikembalikan semula pada 2010.
Ramos dilahirkan di Port-au-Prince, Haiti pada 3 April 2009 dan terselamat dari gempa bumi Haiti pada 2010 ketika masih bayi.
Beliau diambil sebagai anak angkat oleh pasangan dari Argentina pada usia sembilan bulan sebelum dibesarkan di Buenos Aires.
Ramos kini beraksi bersama akademi CA Vélez Sarsfield sebagai pemain sayap kiri dan turut mampu bermain di sebelah kanan.
Sepanjang musim 2026, beliau menjaringkan 12 gol sebelum menerima panggilan menyertai skuad Argentina Bawah 17 Tahun.

