Oleh: Nurul Fazliana Norman
SIPITANG: 2 Ogos 2026 – Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Sipitang menjadi wadah untuk masyarakat memperbaiki diri, menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, sambutan berkenaan yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Sipitang pada Jumaat, turut berperanan mempromosi budaya Islam dan meningkatkan syiar Islam.
Katanya, penghayatan terhadap peristiwa hijrah Rasulullah SAW perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian untuk membentuk masyarakat yang lebih baik.
“Sambutan ini menjadi wadah memperbaiki diri dan mampu meningkatkan syiar Islam dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
“Selain itu, ia juga mampu meningkatkan nilai kebersamaan dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya seperti program pada hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Menurut Matbali, penglibatan pengerusi masjid dan surau dalam program seumpama itu penting untuk memastikan institusi berkenaan terus menjadi medium penyatuan ummah.
“Dengan adanya penglibatan pengerusi-pengerusi masjid dan surau, ia dapat membantu dalam memastikan daerah ini terus cemerlang dan meningkatkan prestasi masjid dan surau sebagai wadah penyatuan ummah,” tambah beliau.
Beliau berkata, kisah hijrah Nabi Muhammad SAW membawa banyak pengajaran yang boleh dijadikan teladan, khususnya dalam aspek perubahan diri dan perjuangan membina kehidupan lebih baik.
Dalam pada itu, Matbali berharap masyarakat setempat mengambil iktibar dari sambutan Maal Hijrah dengan melakukan perubahan positif dalam kehidupan.
Golongan belia khususnya perlu sentiasa bermuhasabah diri dan mengamalkan akhlak terpuji untuk mengekang peningkatan gejala sosial yang semakin membimbangkan akibat perubahan zaman.
Sumber: JAPEN

