KOTA KINABALU: 27 Julai 2026 — Seramai 139 warga asing ditahan dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan menerusi Ops Bersama bersama agensi penguatkuasaan dan Ops Sapu yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu pada Sabtu.
Sepanjang operasi itu, seramai 247 individu diperiksa dengan 139 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mereka terdiri dari 32 lelaki dewasa, 41 perempuan dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 26 kanak-kanak perempuan warganegara Filipina, dan 10 perempuan dewasa warganegara Vietnam.
Menurut JIM Sabah, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen di Sabah.
JIM Sabah turut menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.

