Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 26 Julai 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup. Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026 menawarkan barangan keperluan harian pada harga mampu milik melalui koperasi yang dilantik sebagai operator jualan.
Program ini berlangsung di Perkarangan Pasar Mingguan Sabindo, Tawau, disempurnakan oleh Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin, merasmikannya pada Ahad.

Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan akses kepada barangan asas pada harga lebih rendah yang juga bertujuan memperhebatkan perniagaan tempatan.
Beliau berkata program ini membuka peluang kepada koperasi untuk meningkatkan aktiviti perniagaan, memperluas pasaran dan menjana pendapatan.
Program ini diperkenalkan pada 2019, hasil kerjasama antara KUSKOP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Tujuannya meringankan beban perbelanjaan rakyat dan memperkukuh peranan koperasi sebagai pemangkin ekonomi komuniti.

Beliau menambah objektif utama program ini adalah membantu rakyat mendapat barangan keperluan pada harga berpatutan, mengurangkan tekanan kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah. Program ini juga memperkasa koperasi sebagai platform ekonomi yang inklusif dan mampan.
Pada tahun 2025, seramai 235,195 pengunjung menikmati penjimatan menerusi program ini di seluruh negara. Dalam tempoh sama, hasil jualan mencecah RM8 juta. Angka itu membuktikan program ini memberi manfaat langsung kepada rakyat. Ia turut mengukuhkan kedudukan koperasi sebagai rakan strategik kerajaan dalam memacu ekonomi dan kesejahteraan komuniti.

