Kajian guru Sabah tembus jurnal antarabangsa

acb078e9 100c 44b3 b1b1 6a1a8e136d51

Keningau: Satu projek khidmat komuniti yang melibatkan pelajar kosmetologi dan warga emas telah membawa nama pendidik Sabah ke pentas penyelidikan antarabangsa.

Hasil kajian mereka diterbitkan dalam International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 Jun 2026.

Kajian itu mendapati khidmat komuniti memberi kesan langsung terhadap ketahanan emosi pelajar dalam menghadapi tekanan.

Para penyelidik menganalisis jawapan soal selidik dari 19 pelajar Program Kosmetologi Kolej Vokasional (KV) Keningau.

Pelajar-pelajar itu telah memberikan perkhidmatan dandanan diri kepada 44 penghuni Holy Family Residence for Senior Citizens di Papar.

Mereka merawat kuku tangan, kuku kaki dan melakukan urutan badan kepada warga emas di rumah kebajikan itu.

Interaksi yang terjalin sepanjang aktiviti itu memberi ruang kepada pelajar untuk memahami emosi sendiri dan emosi warga emas yang menerima rawatan.

Hasil kajian menunjukkan tahap kebijaksanaan emosi pelajar semasa berinteraksi mempengaruhi ketahanan mereka menghadapi cabaran.

Pelajar yang mampu memahami emosi diri dan emosi penghuni tua menunjukkan ketahanan yang lebih tinggi ketika berdepan kesukaran.

Pengalaman berinteraksi secara langsung melalui aktiviti kesukarelawanan turut menyumbang kepada pembentukan empati dan daya tahan dalam diri peserta.

Artikel bertajuk Beyond Beauty: Enhancing Cosmetology’s Students’ Emotional Resilience Through a Wellness Community Project on Senior Citizens itu dihasilkan oleh tujuh penyelidik.

Mereka ialah Bibiana Paulus, Vienny Balakrishnan, Diana Kayunon, Alvy Wendyline Florentius, Nur Syahida Mohd Nazri, Dr. Sirhajwan Idek dan Lumang anak Lang.

Lumang anak Lang yang juga Pengarah KV Keningau berkata penyelidikan itu membuktikan program khidmat komuniti memberi manfaat kepada pembangunan sahsiah pelajar.

“Kajian ini penting untuk memastikan pelaksanaan khidmat komuniti oleh institusi membantu membentuk perwatakan dan jati diri pelajar agar mereka sentiasa berbuat baik untuk orang lain,” katanya.

Penerbitan artikel ilmiah itu mencerminkan usaha pendidik KV Keningau menggunakan penyelidikan untuk menilai impak pembelajaran berasaskan komuniti terhadap pembangunan emosi pelajar.

Dapatan tersebut menunjukkan pengalaman di luar bilik kuliah mampu menjadi pelengkap kepada pembentukan sahsiah dan daya tahan generasi muda.

Artikel penuh boleh diakses melalui International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal