KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan mencadangkan pewujudan 150 jawatan baharu untuk memperkukuh penguatkuasaan veterinar di Sabah, termasuk menambah bilangan penguat kuasa dan pemeriksa daging di rumah sembelih.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada kerajaan sebagai persediaan meningkatkan keupayaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah melaksanakan penguatkuasaan di seluruh negeri.
Menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Haiwan (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata kementerian turut menyediakan peruntukan RM500,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk program vaksin rabies.
Beliau berkata cadangan penubuhan One Stop Centre yang dibangkitkan oleh ADUN Dilantik turut disambut baik, namun pelaksanaannya memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan.
Selain itu, katanya, tempoh pemprosesan lesen baharu dicadangkan selama 90 hari, manakala pembaharuan lesen disasarkan siap dalam tempoh 30 hari.
“Kementerian kami telahpun mengemukakan cadangan kepada Kerajaan sebanyak 150 perjawatan baharu yang merangkumi penambahan penguat kuasa dan juga pemeriksa daging yang bertugas di rumah-rumah sembelihan.”
Jamawi berkata semua cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri sepanjang perbahasan akan diteliti untuk memastikan pelaksanaan Enakmen Haiwan (Pindaan) 2026 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

