Hidupkan semula Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri – Donald

4acd9251 aa0c 4e97 8986 e288c79191b0 2

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Kerajaan negeri dicadang menghidupkan semula Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah sebagai pusat latihan rasmi untuk Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung untuk melahirkan pemimpin masyarakat yang lebih kompeten dan berintegriti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin, berkata kerajaan tidak perlu membina institusi baharu, sebaliknya memanfaatkan bangunan dan kemudahan sedia ada yang telah dibangunkan menggunakan wang rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Menurut beliau, institut berkenaan boleh dijadikan pusat latihan rasmi untuk melengkapkan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan khususnya Ketua Kampung dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan sebelum memegang jawatan.

“Daripada membina institusi baharu, adalah lebih baik bangunan dan kemudahan yang telah dibina menggunakan wang rakyat dibaik pulih dan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat latihan rasmi untuk Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan khususnya Ketua Kampung,” katanya.

Donald berkata latihan tidak seharusnya terhad sebelum pelantikan sahaja, sebaliknya perlu diteruskan secara berkala meliputi aspek pentadbiran, Mahkamah Anak Negeri, adat istiadat, integriti, kepimpinan komuniti, pengurusan bencana, penyelesaian konflik dan penggunaan teknologi digital.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja mengelakkan pembaziran aset awam, malah melahirkan pemimpin masyarakat yang lebih kompeten dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata langkah itu akan membantu memperkukuh institusi kepimpinan masyarakat di Sabah, di samping memastikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan mengikut keperluan semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal