Urus niaga RM700 juta libatkan SIP dan SMJ Energy perlu penjelasan – Shafie

a172d830 cad4 4f21 9975 5147f3a5cf3a

KOTA KINABALU: 22 Julai 2026 – Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mempersoalkan urus niaga bernilai RM700 juta yang melibatkan Sabah International Petroleum (SIP) dan Sabah Maju Jaya Energy (SMJ Energy). Beliau turut membangkitkan beberapa isu berkaitan pengurusan kewangan Sabah Development Bank (SDB).

Menurut Shafie, pengambilalihan SIP oleh SMJ Energy dibiayai menerusi pinjaman sukuk bernilai RM900 juta. Sebanyak RM700 juta daripada jumlah itu digunakan untuk mengambil alih SIP yang sebelumnya merupakan anak syarikat milik penuh SDB.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Shafie menjelaskan bahawa pemindahan pemilikan itu menimbulkan tanda tanya kerana kedua-dua syarikat terbabit dimiliki kerajaan negeri.

“Kenapa dipindah hak milik SIP kepada Sabah Maju Jaya Energy sedangkan ia merupakan anak syarikat Sabah Development Bank?” soal beliau.

Beliau berkata perkara itu sukar difahami kerana SIP masih beroperasi dengan baik dan mampu menjana keuntungan.

“SIP is a performing GLC… tapi kenapa dipindah kepada Sabah Maju Jaya Energy?”

Shafie turut mengaitkan perkara itu dengan kelulusan tambahan RM200 juta kepada SDB menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 yang diluluskan pada persidangan DUN.

Walaupun kerajaan menjelaskan dana itu ditempatkan dalam Redeemable Preference Shares (RPS) yang boleh ditebus pada bila-bila masa, langkah berkenaan tetap menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kewangan bank milik kerajaan negeri itu.

“There is a serious problem dalam Sabah Development Bank,” kata beliau.

Shafie mendakwa kerajaan sebelum ini turut menggunakan pinjaman RM900 juta, manakala RM700 juta daripada jumlah itu digunakan untuk mengambil alih SIP.

Katanya, urus niaga berkenaan membabitkan syarikat milik kerajaan negeri dan penggunaan dana awam. Justeru, kerajaan perlu memberikan penjelasan lebih terperinci.

Shafie turut mendakwa SDB mempunyai pinjaman tidak berbayar (non-performing loans) berjumlah kira-kira RM5 bilion. Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan kepada Ketua Audit Negara.

“Why not enforce? Kenapa non-performing loans itu tidak dikejar? Duit itu duit kita,” tegasnya.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan mendapatkan semula pinjaman tertunggak dari syarikat berkaitan, berbanding terus menyalurkan dana baharu.

“Let’s be transparent. Gunakanlah duit yang ada untuk keperluan rakyat.”

Shafie menegaskan kerajaan perlu menjelaskan rasional penggunaan dana awam dalam urus niaga antara syarikat milik kerajaan negeri. Beliau juga mahu memastikan setiap keputusan kewangan dibuat secara telus.

“I don’t want another incident… jangan gunakan duit rakyat untuk bail out GLC yang berhadapan dengan masalah kewangan,” ujar beliau.

Shafie berharap kerajaan negeri memperkukuh tadbir urus kewangan dan memastikan setiap penggunaan wang rakyat dapat dipertanggungjawabkan. Ini penting terutama ketika Sabah berdepan pelbagai keperluan pembangunan dan cabaran ekonomi.

Sabah International Petroleum (SIP) sebelum ini merupakan anak syarikat milik penuh Sabah Development Bank (SDB). Urus niaga pemindahan hak milik kepada SMJ Energy berlaku pada tahun ini.

Kerajaan negeri sebelum ini meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta kepada SDB dalam Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026.

Jabatan Audit Negara sebelum ini dilaporkan telah dimaklumkan mengenai isu pinjaman tidak berbayar SDB yang didakwa mencecah RM5 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal