Masa menunggu kapal di Sepanggar turun kepada 20.24 Jam

e27ef171 004d 4c26 a62b 4ec8183cad81

KOTA KINABALU:, 20 Julai 2026 — Purata masa menunggu kapal untuk berlabuh di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) berjaya dikurangkan kepada 20.24 jam selepas pengambilalihan operasi oleh DP World Sabah, berbanding 66 jam sebelumnya, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi pelabuhan.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu didorong oleh peningkatan produktiviti dan penambahbaikan perancangan kapal berlabuh selepas DP World Sabah mengambil alih pengurusan SBCP pada September 2024.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Menurut Ewon, pengoperasian empat quay crane secara serentak untuk pertama kali membolehkan produktiviti pelabuhan dipertingkatkan, mengurangkan purata masa menunggu kapal dari 66 jam (Disember 2023-September 2024) menjadi hanya 20.24 jam (Oktober 2024-Julai 2025).

Beliau bagaimanapun mengakui berlaku peningkatan semula tempoh menunggu kapal sejak kebelakangan ini berikutan beberapa kekangan operasi, termasuk kadar penggunaan kawasan penyimpanan kontena mencecah 101 peratus susulan peningkatan jumlah pengendalian kontena, dan pengurangan kira-kira 10 peratus ruang penyimpanan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran SBCP dan kerja menaik taraf pintu masuk terminal.

Ewon berkata, pada masa ini terlalu awal untuk menjalankan audit rasmi terhadap prestasi DP World Sabah memandangkan projek pembesaran SBCP masih belum siap sepenuhnya dan pelabuhan masih berdepan kekangan kapasiti.

“Memandangkan projek pembesaran SBCP masih belum siap serta mengambil kira kekangan kapasiti pelabuhan yang terhad pada masa ini, adalah pra-matang dan tidak sesuai untuk menjalankan sebarang kajian prestasi atau audit rasmi terhadap pengurusan DP World Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) akan terus memantau prestasi operator pelabuhan secara berterusan untuk memastikan SBCP mencapai matlamat sebagai hab pemindahan kapal (transhipment) dan hab perdagangan utama di rantau BIMP-EAGA serta Intra-ASEAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal