Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTATAN: 17 Julai 2026 – Petinju negara Hazman Iskandar Zulkifli Siew mencipta sejarah selepas menewaskan petinju India, Kuldeep Tarkar, dalam pertarungan BAM Championship di Dewan Sri Putatan hari ini.
Kemenangan itu menjadikan Hazman petinju pertama yang meraih tali pinggang kejuaraan berkenaan di Sabah. Buat pertama kalinya beliau turut beraksi dalam pertarungan profesional di hadapan keluarga dan penyokong sendiri di Malaysia.
“Saya sangat gembira kerana saya orang pertama yang mendapat belt di Sabah,” katanya.
Digelar “The Zombie” kerana semangat juangnya yang tidak mudah menyerah, Hazman mengakui pertarungan itu bukan mudah. Kuldeep memberikan tentangan sengit sehingga tamat perlawanan.
“Dia lawan yang sangat keras. Walaupun saya menumbuk dia satu atau dua kali, dia masih ada hati dan teruskan pertarungan dan tidak berputus asa,” katanya.

Menurut Hazman, disiplin mematuhi arahan jurulatih ketika berada di sudut gelanggang menjadi faktor utama membantunya mengawal rentak perlawanan dan menyusun strategi untuk setiap pusingan.
“Saya sentiasa dengar apa yang jurulatih saya katakan. Setiap kali saya kembali ke sudut gelanggang, dia akan beri arahan apa yang perlu dilakukan untuk pusingan seterusnya,” katanya.
Pertarungan di Sabah turut membawa makna tersendiri buat Hazman yang mewakili Malaysia, memandangkan ibunya berasal dari Tawau.

Hazman hadir dengan rekod profesional tujuh kemenangan dan satu kekalahan. Beliau juga pernah meraih pingat emas SUKMA 2024 dan bergelar WBA Asia South Featherweight Champion 2026.
Walaupun berjaya merangkul kejuaraan, Hazman mengakui masih belum berpuas hati dengan persembahannya. Beliau bertekad memperbaiki kelemahan demi menghadapi cabaran seterusnya.
“Kemenangan ini bukan penghujung, tetapi permulaan buat saya,” katanya.

