Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 14 Julai 2026 – Pelaburan hijau menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan, selaras dengan usaha mengimbangi pembangunan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menegaskan bahawa pembangunan mampan kini bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya satu keperluan kritikal dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sabah Asia-Pacific Impact Investing for Sustainable Development Summit 2026 di The Magellan Sutera Resort, kelmarin.

Menurut Arthur, Malaysia komited memperkukuh pertumbuhan negara menerusi dasar inklusif, pengurusan sumber asli secara lestari dan pelaburan bertanggungjawab yang mampu menarik keyakinan pelabur.
Kementeriannya kini memperkukuh rangka kerja dasar, perundangan dan pelan ekonomi untuk menjadikan aset semula jadi sebagai sumber nilai ekonomi yang mampan.
“Pembangunan mampan bukan lagi sekadar aspirasi, tetapi satu keperluan kritikal yang memerlukan kepimpinan, kerjasama inovatif dan pelaburan transformatif,” katanya.
Usaha itu turut disokong melalui pembangunan pasaran karbon, pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 dan penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim untuk menyokong sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Arthur memuji Sabah yang terus menjadi peneraju projek karbon hutan apabila berjaya melaksanakan projek pemulihan hutan berskala besar yang menghasilkan lebih empat juta kredit karbon diperakui di peringkat antarabangsa.
Tambahnya, Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Malaysia Forest Fund (MFF) turut memainkan peranan memperluas teknologi hijau, pasaran karbon, pemuliharaan hutan dan pembangunan ekonomi biru.
Pelaburan hijau dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam untuk kesejahteraan generasi akan datang.

