KOTA KINABALU: Sebanyak 39 rumah haram di kawasan setinggan belakang Likas Square dirobohkan dalam Operasi Bersepadu Perobohan Struktur Haram yang diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 9 Julai lalu.
Operasi itu dilaksanakan bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan, memelihara rizab sungai dan sistem saliran, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan bandar raya dilaksanakan secara terancang mengikut peruntukan undang-undang.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan kawasan setinggan berkenaan pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini. Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati struktur haram didirikan semula oleh penghuni yang dikenal pasti sebagai bukan warganegara sehingga menjejaskan fungsi rizab parit dan sungai, keselamatan awam serta kelestarian alam sekitar.
Menurut DBKK, sebanyak 39 Notis Pengosongan, Perobohan dan Pengalihan diserahkan kepada penghuni pada 25 Jun lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum operasi perobohan dilaksanakan.
Daripada jumlah rumah yang dirobohkan, 38 dirobohkan menggunakan jentera kontraktor yang dilantik JPS, manakala sebuah lagi dirobohkan sendiri oleh pemilik.
Operasi bersepadu itu diketuai JPS selaku pemilik kawasan rizab parit dan sungai dengan penyertaan 25 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan DBKK melalui Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity dan Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).
DBKK menegaskan pembinaan rumah atau struktur tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan, termasuk di kawasan rizab sungai dan rizab parit, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.
Sumber: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)

