Sabah perlu tambah kapasiti taska menjelang 2030 – Julita

34b151ce 7593 41f1 ac37 6567213709c7

KOTA KINABALU: 7 Julai 2026 – Sabah perlu menambah kapasiti taska berdaftar untuk memenuhi permintaan penjagaan awal kanak-kanak yang dijangka terus meningkat menjelang 2030, di samping memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terus terpelihara.

4faf61fc 9e51 4027 b4d0 dc0eb5a93d94

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata ketika ini hanya sekitar 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh Sabah, sedangkan jumlah kanak-kanak berumur sifar hingga empat tahun diunjurkan mencecah 445,000 orang menjelang 2030.

Menurutnya, unjuran itu memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska untuk menampung keperluan penjagaan awal kanak-kanak.

Terdapat sebanyak 95 taska tidak berdaftar dikenal pasti masih beroperasi di Sabah, dengan sebahagiannya sedang dalam proses mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Justeru katanya, ibu bapa perlu mengutamakan taska berdaftar kerana premis berkenaan tertakluk kepada pemantauan dan penguatkuasaan, sekali gus dapat mengurangkan risiko keselamatan kanak-kanak.

“Penyelesaian perlu dicari untuk mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan langkah pencegahan perlu terus diperkukuh.

“Pada masa sama, ibu bapa perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya.

Julita berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall, pada 5 Julai lalu.

Tegasnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) merupakan syarat wajib untuk pendaftaran taska dan semua pengusaha perlu mematuhinya demi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.

“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya.

Turut hadir Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal