Gambar ilustrasi sahaja
Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUDAT: 6 Julai 2026 – Seorang lelaki dewasa ditemukan terapung di kawasan Jeti Ikan Angkasa Baru di sini kira-kira jam 10.50 pagi kelmarin, selepas polis menerima maklumat orang awam berhubung penemuan mayat tersebut.
Ketua Polis Daerah Kudat, Supt. Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama Pasukan Polis Marin Kudat bergegas ke lokasi bagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki dewasa berusia lingkungan 30-an dan identitinya masih belum dapat dipastikan kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut, manakala kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan identiti mangsa dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat atau pegawai penyiasat, Insp. Ganesh A/L Arumugam di talian 014-9052819”, tambah beliau.
Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian berkenaan kerana boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat

