TUARAN: 6 Julai 2026 – Di sebalik sorakan kemenangan Storm Breakers Rugby Club (SBRC) yang menjulang kejuaraan kategori Boys Under-14 (Tackle) dalam Kejohanan 1st Mayor Cup, tersimpan kisah perjuangan sebuah pasukan kecil yang membina kejayaan berbekalkan semangat, pengorbanan dan kepercayaan.
Berbeza dengan kebanyakan pasukan lain, Storm Breakers tidak memiliki jurulatih tetap mahupun dana yang kukuh. Namun, segala kekurangan itu tidak pernah mematahkan semangat pemain dan pengurusan untuk terus melangkah.
Presiden merangkap jurulatih SBRC berkata, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan di atas padang, tetapi lambang kesungguhan setiap individu yang percaya bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil.
“Tanpa semangat anak-anak ini dan tanpa dorongan yang padu dari ibu bapa, kami tidak akan menjuarai kejohanan ini. Keberanian mereka yang paling mengagumkan saya kerana mereka berdepan dengan lawan yang lebih besar fizikalnya, tetapi langsung tidak gentar,” katanya.

Menurutnya, bantuan yang diterima dari TV Sabah menerusi penajaan jersi hadir tepat pada masanya dan memberi motivasi kepada seluruh pasukan.
“Cabaran terbesar kami ialah mencari dana. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya apabila TV Sabah membantu kelab ini. Sejak hari pertama saya menghubungi mereka, mereka terus percaya kepada Storm Breakers. Penajaan ini membuatkan pemain begitu gembira dan bangga membawa nama TV Sabah ketika bermain,” tambahnya.
Selain kekangan kewangan, SBRC turut berdepan masalah ketiadaan jurulatih tetap. Demi memastikan latihan tidak terhenti, beliau sendiri mengambil tanggungjawab sebagai jurulatih bersama Timbalan Presiden kelab.
Kesungguhan mereka akhirnya membuka jalan apabila beberapa pemain senior dan jurulatih berpengalaman tampil membantu memberikan latihan kemahiran dan kecergasan kepada pasukan.
Walaupun latihan hanya dapat dijalankan pada hujung minggu kerana pemain datang dari beberapa sekolah dengan sesi persekolahan yang berbeza, komitmen mereka tidak pernah luntur.
“Anak-anak ini sanggup hadir pagi dan petang setiap Sabtu dan Ahad. Dalam tempoh latihan yang terhad itulah mereka belajar kemahiran, membina keyakinan dan mengatasi rasa takut untuk berdepan lawan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan muncul juara menjadi bukti bahawa disiplin, kesungguhan dan semangat berpasukan mampu mengatasi segala kekurangan.
Beliau turut menegaskan bahawa SBRC tidak mahu cepat berpuas hati, sebaliknya akan terus meningkatkan kualiti latihan, memperkukuh aspek kecergasan dan kemahiran pemain serta memperluaskan program pembangunan akar umbi demi melahirkan lebih ramai bakat muda.
Storm Breakers Rugby Club yang berpangkalan di Tuaran ditubuhkan untuk menyediakan platform kepada golongan muda mengembangkan bakat dalam sukan ragbi sambil membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kepimpinan.
Bagi SBRC, kemenangan di Mayor Cup bukanlah penamat perjalanan, sebaliknya permulaan kepada impian yang lebih besar untuk melahirkan pemain berkualiti yang mampu mengharumkan nama Sabah pada masa depan.

