Kemiskinan bukan penghalang raih PNGK 4.00

Gambar Richard Sevillano Menerima Anugerah Pada HAK SMK Telupid

Richard Sevillano, pelajar dari Kampung Kopuron, mencatat kecemerlangan STPM 2026 dengan PNGK sempurna walaupun berdepan pelbagai kekangan sebagai anak keluarga miskin di kawasan luar bandar Sabah.

Oleh: Ray Bull

TELUPID: Ketika rakan-rakan sebaya masih lena di atas katil asrama, Richard Sevillano sudah pun terjaga. Pukul 3.30 pagi, dalam kesunyian subuh di asrama SMK Telupid, dia memulakan rutin ulang kaji selama dua jam sebelum bersiap ke sekolah.

Itulah disiplin yang dipertahankan anak kelima dari enam beradik ini hampir setiap hari sepanjang pengajian di Tingkatan Enam. Selepas waktu persekolahan, dia memilih untuk berehat seketika untuk memulihkan tenaga, sebelum menyambung pembelajaran pada sebelah petang. Rutin itu diikuti dengan riadah ringkas dan diakhiri dengan ulang kaji sehingga jam 11 malam.

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Richard mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2026, mengangkat namanya sebagai salah seorang pelajar cemerlang dari sekolah luar bandar tersebut.

Didikan keluarga sederhana

Dibesarkan di Kampung Kopuron, Richard hidup dalam keluarga yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan tidak menentu. Bapanya bekerja sebagai petani, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Meskipun serba kekurangan, kedua-dua ibu bapanya tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak.

“Saya rasa inilah hadiah terbesar yang mampu saya berikan kepada mama dan bapa,” katanya ketika ditemui.

Gambar Richard Sevillano Bersama Dengan Ibu Bapa
Richard bersama ibu dan bapanya

Richard masih mengingati saat dia menyemak keputusan STPM seorang diri di rumah. Sebaik sahaja melihat PNGK 4.00 tertera pada skrin, dia terus menghantar keputusan itu ke kumpulan WhatsApp keluarga, sebelum air matanya mengalir tanpa dapat ditahan.

Baginya, kejayaan itu bukan sekadar kecemerlangan akademik, tetapi lambang pengorbanan ibu bapanya yang terus bekerja keras walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap.

Cabaran hidup di asrama

Kehidupan di asrama mengajarnya erti berdikari dan menghargai setiap kemudahan yang ada. Namun, sebagai pelajar pra-universiti, akses internet sering menjadi cabaran kerana penggunaan telefon bimbit adalah terhad di asrama.

Keadaan itu tidak mematahkan semangatnya. Malah, ada subjek yang dipelajarinya sepenuhnya menggunakan buku teks tanpa bergantung kepada bahan rujukan dalam talian.

Lebih mencabar lagi, Richard pernah melalui saat-saat kekurangan wang sehingga terpaksa meminjam alat tulis dari rakan-rakan. Dia mengakui pernah terfikir untuk meminta wang dari ibu bapanya di kampung, namun membatalkan niat itu kerana sedar keluarga sendiri sedang bergelut mencari rezeki.

“Kadang-kadang saya rasa mahu berputus asa, tetapi saya sentiasa teringat pesan mama supaya jangan lupa berdoa kepada Tuhan Yesus dan Bunda Maria. Setiap malam saya berdoa rosari sebelum tidur. Dari situlah saya memperoleh kekuatan untuk terus bertahan,” katanya.

Mengatasi keraguan diri

Richard percaya cabaran terbesar bukanlah sukatan pelajaran STPM, sebaliknya kemampuan mengawal diri dari rasa malas, bosan dan hilang keyakinan.

Beliau mengakui sering mendengar tanggapan bahawa STPM terlalu sukar sehingga ada kalanya dia sendiri hampir percaya bahawa dia tidak mampu berjaya. Namun, dia memilih untuk terus berusaha sambil mengubah cara berfikir, bahawa setiap kesukaran adalah peluang untuk keluar dari zon selesa.

Dalam perjalanan itu, Richard turut menghargai peranan guru dan warden asrama, Ronil Tujoh, yang banyak memberi bantuan dan sokongan kepada pelajar bukan sahaja dalam pelajaran, malah dari aspek kebajikan, kewangan dan kerohanian.

Impian masa depan

Kini, Richard memasang impian untuk melanjutkan pelajaran setinggi mungkin agar dapat memperoleh pekerjaan yang mampu mengubah kehidupan keluarganya dan memutuskan rantaian kemiskinan.

Beliau percaya pendidikan merupakan jalan paling berkesan untuk mengubah nasib seseorang tanpa mengira latar belakang.

“Bagi saya, kejayaan ini lebih besar daripada PNGK 4.00. Ia membuktikan bahawa anak dari keluarga miskin juga mampu berjaya jika terus berusaha, berdoa dan tidak pernah menyerah,” katanya.

Kepada pelajar lain, Richard menitipkan pesanan supaya tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai kekurangan.

“Keletihan ketika belajar hanya sementara, tetapi hasilnya mampu mengubah seluruh kehidupan. Jangan sia-siakan pengorbanan ibu bapa kerana merekalah insan yang sentiasa mengharapkan masa depan lebih baik untuk anak-anak mereka.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal