TUARAN: 5 Julai 2026 – Sorakan gemuruh hampir 300 penonton yang memenuhi Dewan Bajau Samah, Tuaran pada 28 Jun lalu membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi mampu menyatukan masyarakat dan melahirkan bakat yang berani menyerlah di pentas.
Hasilnya terzahir melalui Konsert Tahunan Fortissimo Music Studio (FMS) 2026, yang memasuki penganjuran kali ke-10 sekaligus menjadi simbol kejayaan institusi muzik tempatan ini dalam membimbing bakat dari peringkat asas hingga mampu membuat persembahan penuh keyakinan.
Seramai 85 pelajar mengambil bahagian menerusi pelbagai kategori persembahan termasuk vokal, piano, keyboard, dram dan koir, dengan usia peserta seawal lima tahun hingga 63 tahun. Lebih membanggakan, konsert ini turut menghimpunkan pelajar dari beberapa daerah seperti Kota Marudu, Kudat, Penampang dan Labuan, yang mempersembahkan pelbagai repertoir dari permainan piano asas hingga persembahan bertaraf lanjutan.

Pengetua Fortissimo Music Studio, Rhowell Rolland berkata, konsert tahunan ini bukan sekadar pentas persembahan, tetapi platform penting dalam membentuk keyakinan diri setiap pelajar.
“Selama 10 tahun, matlamat kami tidak pernah berubah, memberi peluang kepada setiap pelajar merasai pengalaman membuat persembahan di pentas sebenar. Kami mahu mereka berani berdiri di hadapan orang ramai dan yakin dengan kemampuan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, sebelum diberi peluang membuat persembahan pada konsert tahunan, semua pelajar terlebih dahulu mengikuti sesi monthly recital yang diadakan di studio sebagai latihan membiasakan diri beraksi di hadapan penonton dalam suasana yang lebih kecil.
“Apa yang kami bina bukan hanya kemahiran bermain muzik. Kami juga mahu pelajar mempunyai keberanian untuk bercakap, membuat pembentangan di sekolah dan berinteraksi dengan yakin dalam kehidupan seharian. Muzik menjadi medium untuk membentuk keyakinan itu,” tambahnya.
Konsert berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau dan dijayakan oleh tujuh tenaga pengajar Fortissimo Music Studio.

Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan khas daripada Juara Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2026, Christal Ann Stephen serta Juara Sabah Idol 2026 dan pemenang Persembahan Terbaik Sugandoi Terbuka Negeri Sabah, Reynn Raphiel.

Turut hadir memeriahkan konsert ialah Aprillissa Sue Ann dan Sylvianna Viana Saiki, selain cabutan bertuah serta gerai jualan yang menambah kemeriahan acara.
Selepas sedekad penganjurannya, Fortissimo Music Studio terus membuktikan bahawa pendidikan muzik bukan sahaja melahirkan pemuzik berbakat, malah menjadi wadah membentuk generasi yang lebih berani, berdisiplin dan berkeyakinan untuk menghadapi cabaran di pentas mahupun dalam kehidupan seharian.

