KOTA KINABALU: 30 Jun 2026 – Industri perfileman Sabah menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 14 karya filem dan drama tempatan telah ditayangkan di pawagam dan platform penyiaran sejak 2020 hingga 2025, dengan sembilan daripadanya telah menyertai pertandingan Golden Wind Award (GoWA).

Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) merangkap Pengerusi Penganjur Apresiasi Filem Sabah (AFiS) 2026, Chester Pang, berkata penyertaan dalam anugerah berprestij itu bukan sahaja membuka ruang pengiktirafan kepada penggiat seni tempatan, malah menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakat penerbit dan pengarah filem Sabah.
“Daripada 14 filem yang dihasilkan, sembilan telah menyertai Golden Wind Award dan kami telah menjemput semua produksi terlibat untuk hadir pada malam anugerah yang berlangsung Sabtu lalu di Suria Sabah,” katanya.
Jelasnya penerbit Sabah juga kini semakin mendapat tempat dalam ekosistem penyiaran nasional, termasuk peluang penayangan di RTM, TVS dan Astro.
“Beberapa karya tempatan turut berjaya menembusi pasaran lebih luas menerusi platform televisyen tersebut, sekali gus membuktikan kemampuan penggiat seni Sabah menghasilkan kandungan berkualiti tinggi.
Merujuk kepada pameran poster karya tempatan Sabah, Chester berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa akan datang untuk memberi ruang kepada lebih ramai penggiat industri untuk berkongsi hasil karya untuk pengetahuan umum tertutamanya kepimpinan Kerajaan Sabah supaya boleh jadi bahan rujukan dalam memperkukuh ekosistem perfileman Sabah.
Apresiasi Filem Sabah (AFiS) 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh industri kreatif negeri dan meningkatkan pengiktirafan terhadap karya tempatan di peringkat lebih luas.

