Projek pembangunan 14 sekolah di Parlimen Keningau diluluskan – KPM

Dr Jeffrey Parlimen News1 normal

KUALA LUMPUR: 30 Jun 2026 – Projek pembinaan bangunan gantian dan tambahan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12) untuk empat belas sekolah diluluskan, jawapan susulan kepada pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan di Dewan Rakyat pada 24 Jun lalu.

Jeffrey telah membangkitkan isu lebih 500 buah sekolah daif di Sabah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendapatkan penjelasan pelan tindakan komprehensif termasuk tempoh masa penyelesaiannya.

Menjawab pertanyaan tersebut, KPM mengesahkan bahawa pembaikan dan pembangunan semula sekolah daif di Sabah akan dilaksanakan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada bangunan dalam kategori paling kritikal, iaitu Skala 7.

“Pendidikan berkualiti bermula dengan prasarana yang selamat dan kondusif untuk semua anak Sabah,” tegas Dr Jeffrey dalam memperjuangkan kebajikan murid, guru dan komuniti sekolah agar terus terpelihara.

Menurut KPM, sehingga kini sebanyak 152 buah sekolah di seluruh Sabah telah diluluskan projek pembinaan bangunan gantian dan tambahan di bawah RMKe-12, dengan 14 daripadanya berada di Parlimen Keningau.

Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Rolling Plan 1 Tahun 2026, kerajaan turut meluluskan projek pembinaan bangunan gantian dan tambahan bagi 11 buah sekolah di Sabah dan peruntukan khas untuk pembinaan semula bangunan daif Skala 7 melibatkan 15 buah sekolah.

Isu sekolah daif merupakan antara cabaran utama pendidikan di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Usaha memperjuangkan pendidikan yang lebih berkualiti dan selamat untuk generasi muda akan terus menjadi agenda penting demi memastikan anak-anak di pedalaman Sabah menikmati kemudahan pendidikan yang setara dengan kawasan lain di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal