Sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Gotong Royong Kapayan Lama jadi model perpaduan komuniti

41a0a052 c7be 4fe3 8a13 e0e8c1ad27da

TAMBUNAN: 30 Jun 2026 – Inisiatif menggabungkan sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa dengan aktiviti gotong-royong di Kampung Kapayan Lama kelmarin terbukti berjaya menghimpunkan masyarakat dalam usaha menghargai jasa ibu bapa, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dan semangat kejiranan.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kapayan Lama itu bukan sahaja menjadi platform meraikan insan tersayang, malah turut menggalakkan penyertaan penduduk dalam aktiviti kemasyarakatan sekali gus memupuk budaya kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan keharmonian kampung.

d6eb71b9 9c95 4663 b705 9ebd49e642b3

Pengerusi KRT Kampung Kapayan Lama, Junis Gilou, berkata penggabungan dua elemen bermakna ini memberi peluang kepada ibu bapa, anak-anak dan komuniti untuk meluangkan masa bersama menerusi aktiviti yang bermanfaat.

“Program ini bukan sahaja untuk meraikan ibu bapa, tetapi juga mengeratkan silaturahim antara ibu bapa, anak-anak dan komuniti. Pada masa sama, ia memupuk semangat kerjasama dan mewujudkan persekitaran kampung yang bersih, ceria dan harmoni,” katanya.

703a039c 44ba 4adc 8fcc 6f5af3b6f275

Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan aktif penduduk dalam setiap aktiviti yang dijalankan, menjadikan program ini sebagai contoh terbaik bagi aktiviti kemasyarakatan yang berimpak tinggi.

Seorang ibu yang diraikan, Joanna Jinot , meluahkan rasa gembira dan terharu kerana usaha menghargai ibu bapa masih diteruskan melalui program seumpama itu.

“Saya berasa sangat gembira, terharu dan dihargai apabila diraikan dalam program ini,” katanya sambil berharap agar generasi muda sentiasa menghormati, menyayangi dan menghargai ibu bapa, selain menjadi insan yang bertanggungjawab kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Sementara itu, seorang penduduk, Calista Victorian, memuji program tersebut kerana berjaya mewujudkan suasana yang mesra dan menggalakkan interaksi antara penduduk kampung.

“Perkara yang paling saya sukai ialah suasana yang penuh kemesraan dan kerjasama antara penduduk,” katanya.

Junis berkata pihak KRT berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai penduduk demi memperkukuhkan semangat kejiranan dan perpaduan komuniti di Kampung Kapayan Lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal