TAMBUNAN: 29 Jun 2026 – Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P. Paut, menggesa kerajaan Persekutuan mengkaji semula pelaksanaan kuota 200 liter di bawah program BUDI Diesel yang berkuat kuasa 1 Julai ini, dengan mengambil kira faktor geografi dan keperluan penggunaan bahan api yang berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata kuota yang ditetapkan itu dilihat kurang sesuai dan tidak mencukupi untuk Sabah kerana keadaan muka bumi yang luas, bentuk penempatan yang berselerak dan jaringan jalan raya yang mencabar menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi.
“Di Sabah, keadaan geografinya sangat berbeza berbanding di Semenanjung. Penduduk perlu menempuh perjalanan yang jauh, manakala banyak kawasan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda, sekaligus menyebabkan penggunaan diesel lebih banyak,” katanya selepas menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Rumah Kanak-kanak Bondulu pada Sabtu.

Menurut Victor, penggunaan kenderaan pacuan empat roda di Sabah bukan satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan sejak sekian lama berikutan keadaan jalan raya yang berbukit, tidak rata dan sebahagiannya masih belum dinaik taraf. Selain kegunaan persendirian, ramai pengusaha kecil, petani dan penduduk luar bandar turut bergantung kepada diesel untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
“Justeru, saya berharap kerajaan Persekutuan dapat mengkaji semula kuota 200 liter diesel BUDI untuk Sabah kerana jumlah itu mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar rakyat di wilayah ini,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menetapkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula 1 Julai, dengan kuota asas 200 liter sebulan. Pemilik kenderaan pikap dan jip yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan bagaimanapun boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa penurunan harga diesel baru-baru ini hanyalah “gula-gula pilihan raya”, Victor menolak tanggapan itu. Beliau menjelaskan perubahan harga bahan api dipengaruhi perkembangan pasaran minyak mentah dunia dan faktor geopolitik antarabangsa, bukannya bermotifkan politik.
“Ini bukan gula-gula pilihan raya, apatah lagi sebagai langkah populis bermusim, sebaliknya ia banyak dipengaruhi perkembangan semasa di peringkat antarabangsa, termasuk perubahan situasi di Timur Tengah yang memberi kesan kepada bekalan dan harga minyak dunia,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran untuk menghentikan konflik yang membuka semula Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan kekangan terhadap bekalan minyak.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Ketua Bahagian UPKO Putatan Jason Lee dan Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe turut menggesa kerajaan menambah kuota BUDI Diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, dengan alasan faktor geografi dan corak perjalanan yang berbeza.

