TV Pintar bantu pelajar SMK Tambunan tingkatkan mutu pendidikan

victor1

TAMBUNAN: 27 June 2026 – SMK Tambunan menerima sumbangan tujuh unit televisyen pintar (Smart TV) bersaiz 65 inci untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran terutamanya untuk pelajar Tingkatan Enam.

Sumbangan itu diserahkan oleh Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor Peter Paut, kelmarin.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan pelajar di daerah luar bandar ini kekal kompetitif, selaras dengan perkembangan sistem pendidikan moden.

“Kita mahu melihat daerah Tambunan ini sentiasa mekar dalam pendidikan, demi melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang di masa hadapan,” kata Victor dalam kenyataannya selepas majlis penyerahan sumbangan itu.

“Meskipun berada di luar bandar besar, Tambunan masih menjadi salah satu daerah yang hebat dalam dunia pendidikan dan mampu merapatkan lagi jurang pemisah dengan sekolah-sekolah terbaik di seluruh negeri.”

Beliau menegaskan bahawa mutu pendidikan yang berkualiti tidak hanya bergantung kepada satu faktor semata-mata, sebaliknya lahir dari gabungan komitmen tenaga pengajar, bantuan peralatan mengajar terkini, serta suasana persekitaran yang menyokong kesejahteraan mental dan fizikal pelajar.

“Kesemua itu saling berkait. Kita akan cuba sedaya upaya untuk terus membantu pihak sekolah, tenaga pengajar dan anak-anak murid di Tambunan ini meraih keputusan yang tertinggi dan terbaik di masa akan datang,” tambahnya.

TV pintar yang disumbangkan itu disasarkan untuk digunakan terutamanya oleh pelajar Tingkatan Enam, dan dilihat sebagai alat bantu mengajar moden yang mampu menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif dan menarik minat pelajar untuk terus gigih belajar.

Victor turut menggariskan kepentingan menghargai kecemerlangan akademik sebagai kayu pengukur kepada kualiti sesebuah sekolah.

Menurutnya, detik pelajar menaiki pentas menerima penghargaan merupakan peristiwa bersejarah yang sangat bermakna dan membangkitkan rasa kebanggaan, bukan sahaja kepada pihak sekolah dan guru-guru, malah kepada ibu bapa serta seluruh masyarakat di daerah tersebut.

“Bukan sahaja sekolah dan guru-guru bangga, malah ibu bapa dan seluruh rakyat di daerah ini turut merasainya kelak,” katanya.

Sumbangan tersebut telah disambut dengan penuh keterujaan oleh pihak sekolah, yang menggambarkannya sebagai satu dorongan baharu dalam usaha melahirkan pelajar-pelajar berdaya saing dan cemerlang pada masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal