KENINGAU: 22 Jun 2026 — Kolej Vokasional (KV) Keningau mengekalkan kejuaraan ragbi pada Kejohanan Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) Zon Sabah dan Labuan 2026 selepas menewaskan KV Lahad Datu 28-0 di SMK Keningau 2.
Pasukan itu meneruskan dominasi sebagai juara bertahan dengan kejayaan hampir setiap tahun mempertahankan gelaran zon berkenaan.
Kemenangan itu menjadi suntikan semangat untuk KV Keningau yang menyasarkan gelaran kebangsaan pada SUKOV 2026 di Kelantan Ogos ini. Pasukan itu sebelum ini muncul naib juara SUKOV Kebangsaan 2025 di Pulau Pinang dan menjuarai National KV Seven Series peringkat kebangsaan pada 2025 dan 2026.
Beberapa pemain pasukan turut mewakili daerah Keningau dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) dan Sabah Games (SAGA) 2025, dengan daerah itu muncul juara bagi kedua-dua pertandingan.
Pasukan diuruskan Nur Shiha Che Dir, Mohamad Alief Farhan Azhar dan Che Hasnan Che Ismail, dan mendapat bimbingan jurulatih dari kelab ragbi Titanium Keningau diketuai Nc Oneal Veneddey Vencent.
Pengarah KV Keningau, Lumang Lang, berkata beliau berbangga dengan pencapaian pasukan ragbi dan keseluruhan kontinjen kolej.
“Saya sangat berbangga dan terharu dengan pencapaian pasukan ini. Kejayaan ini membuktikan semangat dan komitmen tinggi warga KV Keningau dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan sukan,” katanya.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan peranan penting sukan dalam membentuk sahsiah pelajar dan mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga kolej.
Dengan rekod cemerlang di peringkat daerah, wilayah dan kebangsaan, pasukan itu kini menggalas harapan untuk membawa pulang kejuaraan SUKOV Kebangsaan 2026.
