Program Peduli Veteran MADANI 2026 perkukuh kebajikan veteran ATM – Adly

01PVM

KENINGAU: 19 Jun 2026 – Kerajaan terus mempergiat usaha memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 yang menekankan pendekatan turun padang bagi mendekati serta memahami keperluan golongan berkenaan secara lebih menyeluruh.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program tersebut merupakan platform penting untuk memastikan setiap inisiatif dan bantuan kerajaan dapat disalurkan secara berkesan kepada veteran ATM, khususnya mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

Menurutnya, pelaksanaan PVM 2026 berteraskan lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi yang dirangka untuk meningkatkan kesejahteraan hidup veteran dan keluarga mereka.

“Kerajaan komited memperkukuh jaringan perlindungan sosial untuk veteran ATM menerusi pelbagai inisiatif yang mampu membantu mereka menjalani kehidupan lebih selesa selepas menamatkan perkhidmatan kepada negara,” katanya.

02PVM
Adly (dua dari kanan) semasa menyampaikan sumbangan kepada Salamin (Kanan) di Kampung Bayangan. Foto – JAPEN

Antara langkah diperkenalkan termasuk bantuan sara hidup bulanan sebanyak RM500 kepada veteran ATM tidak berpencen yang berusia 60 tahun ke atas. Veteran yang mempunyai anak bersekolah turut layak menerima bantuan persekolahan berjumlah RM700 secara sekali bayar setiap tahun bagi meringankan beban kos pendidikan keluarga.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Peduli Veteran MADANI 2026 yang berlangsung di Keningau pada Rabu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Sabah merekodkan seramai 7,893 veteran ATM berdaftar, termasuk 855 orang di daerah Keningau.

Demi memperkukuh aspek perumahan veteran di negeri ini, kerajaan memperuntukkan RM850,423 pada tahun ini di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM Sabah yang melibatkan projek pembinaan rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih kediaman sedia ada.

Sementara itu, Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Keningau, Pius Nain @ Valentine, menyambut baik pelaksanaan program tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan bekas anggota tentera.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan amat bermakna terutama kepada veteran yang berdepan masalah kesihatan kronik serta kesukaran kewangan, sekali gus membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka dan keluarga.

Penerima bantuan, Salamin Mujun, berkata inisiatif kerajaan memberikan kelegaan besar kepada veteran yang memerlukan sokongan selepas menamatkan perkhidmatan.

Menurutnya, bantuan sara hidup bulanan, program baik pulih rumah dan sumbangan Bakul Rahmah bukan sahaja membantu dari aspek kewangan, malah menjadi suntikan semangat kepada veteran untuk meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan sejahtera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal