KOTA KINABALU: 13 Jun 2026 — Komitmen kerajaan memperkasa wanita sebagai tonggak keluarga, masyarakat dan negara terus diperkukuh menerusi Program Melangkah Bersama MADANI: Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan program berkenaan, mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan wanita melalui pengukuhan nilai spiritual, kesejahteraan emosi dan ketahanan diri.

Program anjuran Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menghimpunkan ribuan wanita dari seluruh Sabah dengan pengisian berteraskan nilai MADANI, termasuk sesi bual bicara bertemakan Seni Mengurus Ujian dengan Rahmah dan Wanita Beriman, Wanita Bertahan.
Ucaptama khas oleh Marhamah Rosli turut menjadi taruhan utama, menekankan peranan wanita dalam membina masyarakat sejahtera dan berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.

Program berkenaan turut menyediakan ruang interaktif kepada peserta berkongsi pengalaman, cabaran dan inspirasi kehidupan, selain memperkukuh jaringan sokongan dalam kalangan wanita di negeri ini.
Selaras dengan tema “Wanita Beriman, Wanita Bertahan”, penekanan diberikan kepada aspek pengukuhan spiritual dan pembinaan komuniti wanita yang saling menyokong dalam mendepani cabaran kehidupan.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud bersama barisan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Kerajaan berharap lebih ramai wanita terus diberi peluang memperkasa diri, membina ketahanan dalaman dan memainkan peranan penting dalam melahirkan keluarga sejahtera ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.

