Oleh David E.
Debaran pentas Unduk Ngadau Negeri 2026 berakhir. Persoalan pemenang terjawab. Nama Gelvia berkumandang sebagai johan, dan mahkota negeri kini tersemat indah di kepalanya.
Ia bukan sekadar kemenangan biasa. Seorang gadis anggun yang pernah mengaku “tidak berani dan suara bergegar” kini berdiri megah sebagai jelitawan berwibawa Unduk Ngadau Negeri Sabah.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan bersyukur,” kata Gelvia dengan nada masih terasa getaran emosi. Dia tidak menjangka kemenangan itu, tapi “keinginan untuk menjadi juara memang ada.”

Tangis bahagia di pentas negeri
Di sebalik gemerlap pentas dan riuh sorakan, ada kisah yang lebih bermakna daripada mahkota. Vivi Yana Jenny, kakak kandung Gelvia, mengalirkan air mata gembira atas kemenangan adiknya Gelvia – keduanya bertembung di pentas yang sama.
“Detik paling bermakna apabila saya melihat kakak saya menangis kegembiraan, dan kami berpeluang mengambil gambar bersama-sama dengan pakaian tradisi yang lengkap,” ujar Gelvia.
Keindahan yang istimewa ketika nilai kegembiraan kemenangan itu dikongsi dan dihargai bersama sebagai kakak dan adik.

Kemenangan terbesar bukan mahkota
Sebelum pertandingan akhir, Gelvia pernah berkata bahawa kemenangan terbesarnya ketika itu ialah berjaya melalui sesi soal-jawab dengan baik. Kini setelah bergelar juara negeri, pasti ramai tertanya-tanya apakah “kemenangan terbesar” yang dirasainya pada malam final?
Bukan gelaran, bukan mahkota…
“Saya berjaya melalui satu lagi cabaran Q&A yang lebih mencabar kerana jumlah penonton yang semakin ramai dan soalan untuk persediaan juga semakin banyak. Dan sekali lagi saya dapat berdiri di pentas dan menyampaikan jawapan saya berserta persembahan pentas — yang mana akan menjadi satu kenangan yang sangat bermakna bagi saya.”
Menurut Gelvia, kemenangan sebenar adalah tentang keberanian untuk terus tampil, bersuara, dan menyampaikan idea di hadapan ribuan mata.
Persiapan tanpa drama, tapi berdisiplin
Ramai menyangka persiapan ke peringkat negeri pastinya berbeza secara drastik berbanding peringkat daerah. Tetapi ternyata tidak bagi Gelvia.
“Saya rasa tiada juga banyak perubahan. Saya hanya meneruskan persiapan seperti sebelum ini, cuma lebih fokus kepada latihan pengucapan awam dan lebih banyak membaca untuk pengetahuan am bagi menghadapi penilaian awal.”
Apa rahsianya?
“Saya berusaha untuk kekal aktif dan menjaga kesihatan tubuh. Dari segi emosi, saya mengelakkan perkara-perkara negatif yang boleh mengganggu fokus dan ketenangan diri, serta lebih memilih untuk melihat dan mendengar perkara yang memberi motivasi dan kesan positif kepada minda saya.”

Perang antara keraguan dan keyakinan
Sebelum final negeri, Gelvia mengakui wujudnya “perang antara keraguan dan keyakinan” dalam dirinya. Pada saat-saat genting sebelum naik pentas, Gelvia menguatkan semangat dengan kata-kata bisikan di hati, “Saya selalu pesan pada diri saya: just enjoy the moment, senyum ikhlas dari hati, dan Tuhan pasti memimpin perjalanan saya. Inilah masanya untuk persembahkan apa yang sudah dipersiapkan — jangan sampai ada penyesalan.”
Filosofi yang mudah tapi mendalam – nikmati proses, serahkan kepada Yang Maha Kuasa, dan jangan biarkan penyesalan menjadi teman.

‘Saya anak Kadazan, dan saya akan terus bercakap bahasaku’
Ini mungkin mesej paling kuat dari Gelvia sepanjang wawancara. Sebagai gadis Kadazan sejati, dia sedar bahawa bahasa ibundanya sedang terancam. Gelvia tidak sekadar bercakap – bertindak.
Selepas bergelar UNK Negeri, untuk memperkasakan bahasa Kadazan, Gelvia berkata, “Platform utama yang akan saya gunakan adalah media sosial — iaitu platform yang paling cepat dan dekat dengan kalangan anak muda.”
Satu tindakan bijak, Gelvia memahami generasi muda hari ini hidup dalam genggaman telefon pintar. Untuk sampai kepada mereka, Gelvia akan pergi ke “rumah” mereka – media sosial.
Kemenangannya sudah pasti menjadi bukti konkrit bahawa bahasa ibunda bukan sekadar warisan, tapi juga aset.
Cabaran bahasa ibunda di pentas pre-judging
Juri di peringkat negeri memang menguji penguasaan bahasa Kadazan Gelvia dengan lebih mendalam. Namun dia menghadapinya dengan tenang.
“Ya betul menguji. Sebenarnya soalan semasa pre-judging lebih kurang dengan soalan-soalan yang pernah saya buat semasa sesi latihan. Jadi semasa menjawab tidak begitu susah bagi saya untuk mencari idea baru. Pada masa itu saya hanya perlu susun ayat saya sesuaikan dengan kehendak soalan sahaja.”
Kunci kejayaannya? Persiapan rapi sebelumnya. Gelvia tidak menunggu saat akhir untuk belajar. Dia sudah melatih diri dengan soalan-soalan latihan, menjadikan sesi pre-judging sebagai “ujian yang sudah biasa.”
Inspirasi dan definisi ‘Unduk Ngadau Sejati’
Gelvia sebelum ini mendefinisikan “Unduk Ngadau Sejati” sebagai wanita berilmu, berjati diri, berani bersuara, dan mempunyai hati untuk membantu. Dalam tempoh setahun memegang mahkota negeri, apakah satu perkara konkrit yang ingin dilaksanakan untuk menghidupkan definisi itu?
“Satu perkara yang ingin saya laksanakan ialah menggunakan platform yang saya ada untuk menggalakkan lebih ramai wanita muda menjadi individu yang berilmu, yakin dengan jati diri sendiri, dan berani menyumbang kepada masyarakat. Saya percaya Unduk Ngadau Sejati bukan sekadar gelaran, tetapi tentang bagaimana kita memberi inspirasi, membantu orang lain, dan membawa nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian,” kata Gelvia dengan yakin.
Bukan janji kosong. Ini manifesto peribadi yang akan dibawanya sepanjang tempoh memegang mahkota.

Mentor dan nasihat berharga
Hosiani James Joimis (UNK 2018) dan Fransisca Ester Nain (UNK 2019) sebagai ikonnya, Gelvia berkata, “Saya harap mendapat tunjuk ajar dan nasihat dari mereka yang telah berpengalaman menggalas tanggungjawab ini sebagai UNK Peringkat Negeri.”
Gelvia tidak merasa sudah hebat dengan kemenangannya, malah sedar masih banyak yang perlu dipelajari dari mereka yang pernah melalui laluan yang sama.
Mengenai mentornya, Ed Haqim, yang banyak membantu secara berjadual, Gelvia berkata, “Satu perkara yang paling saya ingat dan akan saya praktikkan adalah sentiasa bawa Tuhan dalam apa juga yang dilakukan, berdoa dan minta pertolongan dari-Nya.”
Nasihat yang melampaui strategi pertandingan – itulah panduan hidup.
Visi ‘Beyond UNK 2026’
Dalam artikel sebelum final, Gelvia sudah mempunyai visi – menjadi inspirasi wanita berpendidikan tinggi, membantu orang lain mencapai impian, dan meningkatkan ekonomi sendiri. Kini dengan gelaran ini katanya,
“Saya akan berusaha menjadi inspirasi wanita berpendidikan tinggi terlebih dahulu, di samping terus mempelajari dan memperkasa warisan budaya kita.”
Ia pilihan yang strategic kerana dengan menjadi inspirasi terlebih dahulu, dia membina kredibiliti dan pengaruh — yang kemudiannya boleh digunakan untuk membantu orang lain mencapai impian dan meningkatkan ekonomi.
Ketika ditanya samada akan menyertai pertandingan ratu cantik lain, dengan jawapan tegas Gelvia menjawab, “Saya akan lebih fokus kepada pendidikan dan pemerkasaan bahasa ibunda. Tidak bercadang untuk menyertai pertandingan ratu cantik lain.”
Sebagai graduan Pengajian Melayu yang kini menanti panggilan guru, dan berhasrat untuk mengambil Pengajian KDMR, jelas bahawa haluan kerjayanya adalah dalam bidang pendidikan dan kebudayaan — bukannya hiburan.
Pesanan kepada diri sendiri di masa lalu
Jika Gelvia boleh kembali ke masa mendaftar Unduk Ngadau Daerah Papar – ketika Gelvia masih “tidak berani dan suara bergegar”- apakah nasihat Gelvia kepada Gelvia pada masa itu?
“Jangan takut untuk mencuba dan keluar dari zon selesa. Tiada yang mustahil jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.”
Satu pesanan yang ringkas, padat, dan sarat makna dari seorang gadis yang suaranya pernah bergegar, kini berdiri sebagai juara negeri. Dari seorang yang tidak berani, kini menjadi inspirasi untuk ribuan gadis muda di Sabah.

Bukan sekadar Mahkota
Gelvia bukan sekadar memenangi mahkota. Dia membuktikan bahawa kemenangan sebenar bermula apabila kita berani melangkah keluar dari zon selesa — walaupun lutut bergetar dan suara masih terketar-ketar.
Semoga Gelvia menjadi Unduk Ngadau Sejati yang membawa perubahan. Bukan sekadar mahkota, kemegahan dan kemashyuran, tetapi memenangi hati generasi muda untuk bersama memperkasakan budaya dan bahasa ibunda.
