TAWAU: 9 Jun 2026 – Polis berjaya menumpaskan kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menahan dua lelaki tempatan dalam satu operasi khas Op Tiris di Bandar Sri Indah.
Operasi Balai Polis Bandar Sri Indah dengan kerjasama Pasukan Petugas Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau itu berdasarkan hasil risikan aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi di kawasan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, serbuan berjaya menahan dua lelaki berusia antara 38 hingga 53 tahun yang terlibat dalam kegiatan membawa dan memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa permit yang sah.
Polis turut merampas sebuah lori Nissan Condor dan sebuah lori bonded Mitsubishi Fuso yang digunakan untuk kegiatan itu.
Selain itu, tiga tong mengandungi kira-kira 600 liter minyak diesel bersubsidi, sebuah hos getah, pam penyedut minyak, meter digital minyak dan beberapa anak kunci kenderaan dan mangga kotak lori turut disita.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM101,670.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen atau permit yang sah.
Operasi itu merupakan antara usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras ketirisan barangan kawalan dan memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada golongan yang layak.
