Pertandingan kreatif potret tokoh pemimpin Sabah, wadah hayati sejarah Double Six

Potret wadah sejarah Double Six scaled

KOTA KINABALU: 6 Jun 2026 – Sebanyak 98 peserta telah menyertai Pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Inovasi DBKK, sempena memperingati 50 tahun Peristiwa Double Six yang berlaku pada 6 Jun 1976.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan), yang juga pengerusi penganjur, Faradillah Binti Abdul Rani berkata, bertemakan “Menghargai Warisan, Menginspirasi Generasi”, pertandingan yang berlangsung dari Februari hingga 11 April 2026 itu bertujuan mengangkat jasa dan pengorbanan tokoh kepimpinan Sabah melalui pendekatan seni visual yang kreatif dan moden, khususnya untuk mendekati generasi muda.

Menurutnya lagi, pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori utama: Kategori A (Sekolah Rendah, 10–12 tahun) dengan medium lukisan tangan; Kategori B (Sekolah Menengah, 13–17 tahun) sama ada lukisan tangan atau digital; serta Kategori C (IPT/Belia/Terbuka, 18 tahun ke atas) yang melibatkan seni digital, AR/VR dan mixed media.

Selain hadiah utama, penganjur turut menyediakan lima Anugerah Khas iaitu Anugerah Khas Inovasi Digital, Anugerah Ekspresi & Jiwa Tokoh, Anugerah Interpretasi Terbaik, Anugerah Penghayatan Tokoh, dan Anugerah Teknik Terbaik. Turut diadakan Anugerah Pilihan Juri untuk lima karya terbaik serta Pameran Khas Pilihan Juri yang mempamerkan 10 karya terpilih.

Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Koordinasi DBKK, Fauziahton Awang Samad yang mengetuai pertandingan menjelaskan bahawa kriteria penilaian karya menekankan ketepatan representasi tokoh (30%), kreativiti dan gaya persembahan (30%), kualiti teknik dan kemahiran seni (20%), serta keaslian idea dan impak visual (20%).

Panel juri terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohamad Puad Bebit (Pengarah Galeri Azman Hashim, UMS), Dr. Junior Kimwah (Pensyarah Kanan Seni Visual, ASTiF, UMS), dan Tuan Lence Wain (Pensyarah Fakulti Seni dan Media Kreatif, UCSF).

Karya-karya terbaik dipamerkan di Galeri Double Six bermula hari ini 6 Jun 2026, tepat pada ulang tahun ke-50 tragedi yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens, bersama beberapa anggota kabinet negeri.

Antara pemenangnya Angelle Natallee, Sk Pomotodon Inanam, Kategori A (Sekolah Rendah 10-12 tahun); Khayla Nurazalia Binti Srizwan, SMK Sanzac, Kategori B (Sekolah Menengah 13-17 tahun); Lemmuel Daven Kelimen, Kategori C (IPT/Belia & Terbuka 18 tahun ke atas); Nathania Oh Guntobon, Anugerah Khas Inovasi Digital; dan

1
2
3
4

Menurut Faradillah, program ini bukan sekadar pertandingan seni, tetapi merupakan wadah pendidikan sejarah, penghargaan kepimpinan dan pembangunan bakat kreatif yang menghubungkan warisan masa lalu dengan inspirasi masa depan. – TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal