PUTRAJAYA: 5 Jun 2026 – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan melaksanakan pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu secara berfasa selepas pelancaran rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Dalam kenyataan media pada 29 Mei, JPN menegaskan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad sedia ada kerana kad pengenalan yang digunakan ketika ini masih sah untuk semua urusan rasmi, termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.
Sebagai permulaan, pelaksanaan pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan di Ibu Pejabat JPN Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu. Pelaksanaan itu kemudiannya akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
Menurut JPN, pendekatan berfasa tersebut bertujuan memastikan proses pengeluaran berjalan lancar dan teratur di samping mengelakkan kesesakan di kaunter perkhidmatan.
Keutamaan pengeluaran MyKad Struktur Baharu akan diberikan kepada pemohon yang telah membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN, selain pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 yang tidak mempunyai ciri ‘ghost-image’.
Pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan menukar kad pengenalan masing-masing kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
JPN akan menyediakan soalan lazim (FAQ) dan panduan berkaitan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu menerusi portal rasminya.
Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan data serta maklumat peribadi pemegang MyKad akan terus dilindungi melalui ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan kawalan perlindungan data yang ditetapkan kerajaan.
JPN berkata pelaksanaan MyKad Struktur Baharu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem identiti nasional negara, selain memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan selamat kepada rakyat Malaysia.
